MELAKA - Pakatan Harapan (PH) mula membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan menerima kira-kira 10,000 bendera parti yang dikitar semula untuk digunakan bagi ‘memerahkan’ negeri bersejarah ini.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, bendera berkenaan sebelum ini digunakan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan sebelum diteruskan penggunaannya di Melaka.
**media[3656341]**
Menurutnya, langkah itu adalah usaha PH mengurangkan pembaziran selain menjaga alam sekitar.
“Pusat operasi kami menerima kira-kira 10,000 bendera Pakatan Harapan yang boleh digunakan semula.
“Bendera ini sebelum ini digunakan dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan, dan kini diteruskan penggunaannya di Melaka.
“Kami mungkin tidak sekaya parti lain, tetapi kita boleh kurangkan pembaziran dan jaga alam sekitar,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Rabu.
**media[3656343]**
Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa Rabu bagi memberi laluan kepada PRN Melaka.
Pada PRN Melaka ke-15, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Setakat ini, belum ada mana-mana parti memuktamadkan kerjasama politik bagi menghadapi PRN Melaka ke-16.