PUTRAJAYA – Penerimaan akar umbi dijangka menjadi cabaran terbesar sekiranya kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) direalisasikan, susulan sejarah persaingan politik kedua-dua pihak sejak 2018.
Penganalisis politik, Datuk P Sivamurugan berkata, meskipun pimpinan parti mungkin lebih terbuka terhadap kerjasama atas pertimbangan strategik, penerimaan akar umbi tidak semestinya berlaku secara automatik dan memerlukan masa serta naratif politik yang jelas.
“Pimpinan mungkin lebih terbuka atas pertimbangan strategik, tetapi akar umbi mempunyai sejarah persaingan yang kuat sejak 2018.
“Jadi penerimaan tidak semestinya berlaku secara automatik,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu menjadi lebih mencabar kerana kedua-dua pihak sebelum ini berada dalam blok politik berbeza dan mempunyai sejarah persaingan yang kuat.
Perkembangan mengenai kemungkinan kerjasama PH-Bersatu mendapat perhatian selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Bersatu mempunyai hasrat untuk bekerjasama dengan PH.
Anwar turut memaklumkan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari diberikan tanggungjawab untuk menguruskan perkara berkenaan.
Pada masa sama, PH Melaka mengakui sedang mengadakan rundingan dengan beberapa parti termasuk Bersatu bagi meneroka kemungkinan kerjasama politik baharu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang turut dikaitkan dengan gagasan PH Plus.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Dr Tawfik Yaakub berpandangan bibit kerjasama antara PH dan Bersatu sudah mula muncul menerusi perkembangan politik semasa.
Menurutnya, dalam suasana politik ketika ini, rundingan boleh berlaku atas keperluan strategi yang pragmatik terutama bagi mengelakkan perpecahan undi dan menstabilkan kedudukan kerajaan.
“Namun bentuk hubungan akan bergantung pada bentuk kerjasama yang dikehendaki Bersatu, pendirian kepimpinan PH serta kesediaan kedua-dua pihak menerima syarat politik masing-masing,” jelas beliau.
Ujar Tawfik, sekiranya berjaya, kerjasama itu berpotensi mengukuhkan PH dari segi angka dan capaian kepada segmen pengundi Melayu tertentu yang masih mempunyai hubungan dengan Bersatu.
Bagaimanapun katanya, kekuatan sebenar bukan sekadar tambahan kerusi atau ahli Parlimen, sebaliknya PH perlu memastikan kerjasama itu tidak menghakis identiti reformasi dan keyakinan penyokong terasnya.
Menurutnya, penerimaan akar umbi menjadi cabaran besar kerana sebahagian penyokong PH mungkin sukar menerima Bersatu disebabkan sejarah persaingan, isu Langkah Sheraton dan naratif pengkhianatan mandat.
“Di pihak Bersatu pula ada ahli yang melihat PH sebagai lawan tradisi. Maka kepimpinan perlu memberikan justifikasi jelas adakah ia sekadar kerjasama pentadbiran, kerjasama Parlimen atau pakatan menghadapi PRU16,” katanya.
Tawfik berpandangan, jika rundingan berkembang secara tersusun dan mendapat mandat kedua-dua parti, kerjasama tersebut boleh menjadi asas kepada jajaran politik lebih besar menjelang PRU16.
Namun katanya, kerjasama PH-Bersatu juga boleh mencetuskan penjajaran baharu yang lebih kompleks termasuk kesan terhadap hubungan PH dengan Barisan Nasional (BN) dan kedudukan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).