SHAH ALAM - Pentadbiran Negeri Sembilan berdepan risiko lumpuh sekiranya pembatalan pelantikan Exco Kerajaan Negeri berkuat kuasa serta-merta tanpa sebarang penyelesaian segera.
Pakar perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ini kerana mesyuarat tidak boleh berfungsi dengan ketiadaan barisan anggota Exco negeri berkenaan.
“Kalau tidak berfungsi, tak berjalan kerja maka pentadbiran itu juga tidak berjalan. Dalam erti kata lain, ia lumpuh kerana yang tinggal Menteri Besar sahaja.
“Semua portfolio itu tidak boleh berjalan sebab tiada penerajunya, ada Menteri Besar sahaja.
"Semua perkara diletakkan bawah tanggungjawab Menteri Besar, bukan mudah. Berapa lama Menteri Besar boleh bekerja sendiri. Itu persoalan dia,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, ditanya sama ada Kerajaan Negeri Sembilan masih berfungsi susulan perkembangan terbaru itu, Nik Ahmad Kamal berkata, ia tetap berfungsi selagi Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan (SUK) ada.
“Ada Menteri Besar dan SUK, ia masih berfungsi sebagai jentera kerajaan negeri. Maksudnya Menteri Besar ambil semua kuasa yang dijalankan oleh Exco buat sementara waktu,” jelas beliau.
Mengulas mengenai langkah yang boleh diambil bagi menyelesaikan kemelut yang belum menampakkan tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat, Nik Ahmad Kamal mengesyorkan pelantikan satu kumpulan atau majlis yang dianggotai mereka yang tiada kepentingan dalam isu berkenaan.
Menurut beliau, sistem perlembagaan di Negeri Sembilan begitu kompleks kerana ia membabitkan Undang Yang Empat, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) dan lain-lain yang memerlukan proses dipatuhi mengikut peringkat tanpa boleh dilangkau.
“Penubuhan kumpulan atau majlis bagi mencari penyelesaian merupakan langkah yang boleh dipertimbang supaya dapat berbincang dengan cara neutral, tidak bersifat memihak atau ada kepentingan. Insya-ALLAH saya rasa ia boleh diselesaikan,” katanya.
Tambah beliau, campur tangan Kerajaan Pusat juga perlu dielak dalam mencari penyelesaian kepada krisis ini kerana ia boleh mendatangkan lebih banyak masalah.
“Biar mereka dalam Negeri Sembilan sendiri selesaikan dengan cara dan ikut adat serta peraturan mereka sendiri,” katanya.