SHAH ALAM - Tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh dilihat sebagai strategi ‘tekanan tanpa perpecahan’ terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penganalisis politik, Dr Mohamad Hafis Amat Simin berkata, langkah itu merupakan mesej kepada Anwar bahawa DAP mahu kestabilan Kerajaan Madani dikekalkan, namun tidak mahu kompromi politik menyebabkan identiti reformasi kerajaan khususnya berkaitan integriti, tadbir urus dan antirasuah terhakis.
Menurutnya, pada masa sama, DAP tidak mengambil langkah lebih jauh yang boleh menggugat kedudukannya dalam Kerajaan Madani, menunjukkan parti itu memilih untuk menyatakan tekanan dan pendiriannya terhadap kepimpinan kerajaan tanpa membawa kepada keretakan serius dalam gabungan tersebut.
"Tindakan Anthony boleh dilihat sebagai satu bentuk tekanan politik yang terkawal terhadap kepimpinan Perdana Menteri.
"Namun, tidak semestinya bermaksud DAP mahu Anwar mengambil pendekatan konfrontasi terhadap UMNO atau meletakkan Perdana Menteri dalam keadaan perlu memilih antara dua parti utama dalam kerajaan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum ini, Anthony Loke memaklumkan keputusan berkenaan dibuat selepas dibincangkan dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Sabtu.
Mohamad Hafis berkata, tindakan Anthony itu juga membawa mesej bahawa terdapat batas tertentu terhadap kompromi politik apabila sesuatu isu menyentuh prinsip dan identiti teras sesebuah parti.
Menurutnya, bagi DAP, isu berkaitan integriti, tatakelola, antirasuah dan skandal 1MDB mempunyai nilai politik yang besar kerana perkara tersebut telah menjadi sebahagian daripada naratif perjuangan parti dan Pakatan Harapan (PH) sejak sekian lama.
**media[3653733]**
"Justeru, keputusan berkenaan memberi isyarat bahawa DAP masih menyokong kestabilan kerajaan tetapi sokongan itu tidak bermakna parti tersebut akan berdiam diri terhadap setiap perkembangan politik yang boleh menimbulkan persoalan terhadap agenda reformasi.
"Dalam konteks ini, tekanan terhadap Anwar lebih bersifat politik dan moral. Perdana Menteri kini perlu mengimbangi kepentingan beberapa parti yang mempunyai sejarah, asas sokongan dan sensitiviti politik yang berbeza.
"UMNO mempunyai sentimen tersendiri terhadap Najib, manakala DAP pula perlu mempertahankan kredibilitinya di hadapan penyokong yang selama ini melihat isu integriti dan antirasuah sebagai antara asas utama perjuangan politik mereka," katanya.
Beliau berkata, cabaran Anwar selepas ini adalah memastikan kompromi yang diperlukan untuk mengekalkan kestabilan kerajaan tidak menimbulkan persepsi bahawa agenda reformasi semakin diketepikan.
Dalam pada itu, Mohamad Hafis berkata, langkah Anthony juga membawa mesej kepada akar umbi DAP.
"DAP kini berhadapan dilema sebuah parti yang telah berubah daripada pembangkang kepada sebahagian daripada kerajaan.
"Ketika berada dalam pembangkang, parti boleh mengambil pendirian yang lebih tegas dan mutlak. Apabila berada dalam kerajaan campuran, setiap keputusan perlu mengambil kira kestabilan kerajaan, hubungan antara parti dan realiti perkongsian kuasa.
"Sebab itu keputusan melepaskan jawatan boleh ditafsirkan sebagai usaha menunjukkan bahawa DAP tidak mahu dilihat menggadaikan keseluruhan prinsipnya semata-mata untuk mempertahankan kedudukan dalam kerajaan," katanya.
Sementara itu beliau turut berpandangan, perkara tersebut juga membawa mesej simbolik bahawa apabila sesuatu perkembangan menyentuh isu penting kepada identiti parti, pimpinan tertinggi bersedia mengambil tanggungjawab politik.
Namun, ujarnya, persoalan lebih kritikal ialah sama ada langkah tersebut mencukupi untuk meyakinkan penyokong DAP.
"Ini kerana DAP masih kekal dalam Kerajaan Madani dan wakil-wakil parti yang lain masih berada dalam pentadbiran. Keadaan itu membuka ruang kepada dua tafsiran.
"Bagi penyokongnya, tindakan Anthony boleh dilihat sebagai bukti bahawa parti masih mempunyai garis prinsip tersendiri tetapi bagi pengkritik mungkin dianggap sebagai tindakan simbolik yang cuba meredakan tekanan akar umbi tanpa mengubah kedudukan politik DAP dalam kerajaan.
"Di sinilah nilai sebenar tindakan Anthony akan diuji. Jika peletakan jawatan itu diikuti dengan pendirian yang konsisten terhadap reformasi institusi, tadbir urus, kebebasan institusi dan agenda antirasuah, maka ia mempunyai nilai politik yang lebih substantif," katanya.
Sebaliknya, beliau berkata, jika tindakan itu tidak disusuli dengan pendirian yang jelas dalam isu berkaitan reformasi, ia berisiko dilihat hanya sebagai simbol politik jangka pendek.
Katanya, dalam politik kerajaan campuran, perbezaan pendirian antara parti bukan sesuatu yang luar biasa kerana perkara lebih penting ialah bagaimana perbezaan tersebut diurus tanpa menyebabkan kerajaan lumpuh dan tanpa menyebabkan setiap parti kehilangan identiti politiknya.
"Justeru, peletakan jawatan Anthony bukan sekadar persoalan tentang satu jawatan Kabinet tetapi merupakan ujian terhadap sejauh mana DAP boleh mengekalkan keseimbangan antara kuasa dan prinsip, dan pada masa sama menjadi ujian kepada Anwar dalam mengurus kerajaan yang dibina daripada parti-parti dengan sejarah serta kepentingan politik yang sangat berbeza.
"Akhirnya, isu paling besar bukan sama ada Anthony berada atau tidak berada dalam Kabinet, tetapi sama ada Kerajaan Madani masih mampu meyakinkan rakyat bahawa kestabilan politik boleh bergerak seiring dengan agenda reformasi dan integriti," katanya.