SHAH ALAM - Tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengumumkan beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan isu pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai.
Perkara itu dibangkitkan bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang mempersoalkan mengapa Anthony tampil mengambil tanggungjawab berkenaan dengan menawarkan diri untuk berundur.
Menurut beliau, persoalan utama yang timbul ialah mengapa Anthony menawarkan diri untuk meletakkan jawatan, sedangkan terdapat pemimpin lain yang turut dikaitkan dengan isu berkenaan tetapi tidak mengambil tindakan sama.
"Pada asasnya, orang ramai mempersoalkan mengapa Anthony Loke menawarkan diri untuk meletakkan jawatan, sedangkan Hannah Yeoh yang menganggotai Lembaga Pengampunan tidak menawarkan diri untuk berundur.
"Begitu juga Nga Kor Ming, yang sebelum ini secara terbuka menyatakan kemungkinan beliau akan meletakkan jawatan sekiranya Najib 'dibebaskan', juga tidak menawarkan diri untuk berundur. Sebaliknya, Anthony Loke tampil ke hadapan untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Ahad.
Pada Sabtu, Anthony memaklumkan keputusan menawarkan diri meletakkan jawatan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP bagi membincangkan perkembangan berkaitan isu tersebut.
Beliau berkata, surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Menurut Anthony, peletakan jawatan itu hanya membabitkan dirinya sebagai anggota Jemaah Menteri, manakala menteri dan timbalan menteri DAP lain akan kekal dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan politik negara terus terjamin.
Mengulas tindakan tersebut, Wong Chen turut menggunakan pengalaman peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen sebelum ini sebagai perbandingan mengenai prinsip tanggungjawab individu dalam politik.
"Sebagai analogi mudah, peletakan jawatan saya sebagai Ahli Parlimen berlaku selepas akses saya kepada peruntukan kawasan Parlimen Subang disekat. Saya tidak meletakkan jawatan hanya kerana akses Lee Chean Chung kepada peruntukan kawasan Parlimen Petaling Jaya disekat," ujarnya.
Wong Chen berkata, tanggungjawab bersama dalam kalangan pemimpin secara umumnya diterima sebagai pendirian politik yang bijak dan wajar.
Bagaimanapun, beliau berpandangan, mengorbankan pemimpin tertinggi supaya pemimpin lain kekal sebagai menteri adalah perkara berbeza.