Bersatu dilamar, rintis kerjasama politik hadapi pilihan raya - Muhyiddin

PETALING JAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan telah mengadakan perbincangan awal dengan beberapa parti politik dalam negara bagi merintis kerjasama menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan parti pimpinannya diibaratkan seperti 'dara sunti' dan hampir dilamar oleh pelbagai pihak.

"Tadi, sebentar tadi, Setiausaha Agung dalam ucapan telah memberitahu banyak orang sudah melambai.

"Mungkin hampir-hampir nak melamar. Macam kita ini dara sunti yang dipinang-pinangkan," katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun ke-10 Bersatu di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini pada Sabtu.

Susulan itu, beliau turut mengesahkan perbincangan awal telah diadakan dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)

"Beberapa perbincangan telah pun diadakan dan nampaknya respon kedua-dua belah pihak untuk membentuk suatu gabungan ini adalah amat positif.

"Dan ini kita akan teruskan bentuk kerjasama akan diperincikan dalam masa terdekat," katanya lagi.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, parti itu turut menerima isyarat daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) yang secara prinsipnya terbuka untuk merintis kerjasama dengan Bersatu.

"Perbincangan lanjut dengan kepimpinan PUTRA akan diadakan dalam masa terdekat," katanya lagi.

**media[3652787]**

Muhyiddin bersetuju bahawa parti itu tidak boleh bergerak secara solo, sebaliknya perlu bergerak dalam sebuah gabungan politik.

"Saya bersetuju dengan pandangan ini, Bersatu tidak boleh bergerak solo. Kita mesti bergerak dalam sebuah gabungan politik.

"Cuma dalam menentukan rakan gabungan, ia mestilah rakan yang menghormati perjuangan kita, yang menghargai sumbangan dan paling penting rakan yang selari dengan prinsip serta cita-cita perjuangan dengan parti kita," ujar beliau.

Muhyiddin berkata, Bersatu terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain, namun menetapkan syarat utama iaitu rakan gabungan perlu menghormati prinsip asas perjuangan parti.

Tambah beliau, prinsip Bersatu ialah usaha mewujudkan negara maju, makmur dan bebas daripada amalan kleptokrasi selain progresif, demokratik serta menghormati hak rakyat seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, prinsip itu turut merangkumi perlindungan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam serta hak sah semua kaum.

"Inilah asas dan panduan yang penting dalam menentukan hala tuju parti dan memilih rakan gabungan dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

"Bersatu bersedia untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti yang menerima dan menghormati prinsip-prinsip asas perjuangan parti," katanya.