Pegawai khas kunci mulut perkembangan Najib

KUALA LUMPUR – Pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahmad Lutfi Azhar enggan mengulas mengenai perkembangan semasa bekas Perdana Menteri itu selepas menerima pengampunan bersyarat pada Jumaat.

Pengampunan bersyarat itu membolehkan baki hukuman penjara Najib dijalani menerusi tahanan di rumah.

Ahmad Lutfi ditemui ketika keluar dari kediaman Najib di Jalan Langgak Duta di sini, petang Jumaat.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen ketika ditanya mengenai keadaan Najib dan keluarganya, termasuk sama ada bekas Perdana Menteri itu akan berada di kediaman berkenaan.

Ahmad Lutfi turut ditanya sama ada pengamal media perlu terus menunggu di luar rumah tersebut, sebelum memaklumkan terpulang kepada mereka.

Sebelum itu, beliau mengagihkan air minuman kepada lebih 50 pengamal media yang berkumpul di luar kediaman itu seawal jam 9 pagi.

Dalam pada itu, beberapa penyokong Najib turut dilihat berada di luar pekarangan kediaman berkenaan.

Sebahagian mereka merupakan penyokong yang sebelum ini kerap hadir di mahkamah bagi menunjukkan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada Jumaat.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada Najib membayar denda RM50 juta.