Peluang Muhyiddin pulih imej politik

SHAH ALAM - Keputusan melepas dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan berkaitan Jana Wibawa boleh menjadi modal politik buat bekas Perdana Menteri itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, keputusan itu juga memberi ruang kepada Presiden Parti Bersatu itu untuk mengurangkan tekanan yang dihadapinya selain memulihkan imej politik beliau.

Menurutnya, perkembangan tersebut turut membolehkan Muhyiddin memberikan tumpuan kepada usaha mengukuhkan semula Bersatu.

"Kes yang beliau hadapi memang berat. Jadi apabila pendakwaan tidak meneruskan pertuduhan itu, ia memberi ruang kepada Muhyiddin untuk memberi fokus kepada politik dan hari ini beliau mahu menguatkan kembali Bersatu.

"Imej beliau boleh dipulihkan, maksudnya orang awam anggap Muhyiddin sebenarnya okey," katanya kepada Sinar Harian.

Pada Selasa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Muhyiddin yang juga bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan RM200 juta.

**media[3649636]**

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, keputusan berkenaan juga berpotensi menjadi modal politik Muhyiddin menjelang PRN Melaka, terutama apabila isu integriti lazimnya menjadi antara senjata kempen digunakan parti politik.

"Itu sudah pasti. Biasanya antara yang orang gunakan untuk kempen ialah isu integriti.

"Dalam pilihan raya, isu ini akan dibangkitkan untuk menyerang individu yang dikaitkan supaya rakyat marah kepada orang yang dikaitkan dengan isu integriti.

"Bila Muhyiddin dah bebas isu berkenaan, sekurang-kurangnya dia dapat bersihkan imej dan orang tidak boleh gunakan lagi untuk serang dia," ujar beliau.