'Ahmad Zahid diyakini tidak ulang episod No Anwar, No DAP’

SHAH ALAM – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka tidak mengulangi episod No Anwar, No DAP dengan membelakangi pendirian yang dizahirkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, keyakinan itu bersandarkan perkembangan hubungan BN dan Pas yang kini dilihat semakin mempunyai kepentingan strategik menjelang PRU16.

Katanya, beberapa ‘eksperimen politik’ melibatkan kerjasama kedua-dua parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini menunjukkan BN semakin yakin terhadap keperluan Pas dalam menggerakkan naratif Melayu-Islam.

“Dalam konteks hari ini, saya tidak merasakan bahawa Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN akan membelakangi apa yang telah dikatakan. Ini kerana eksperimen politik bersama Pas dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini bakal diulangi sekali lagi di Melaka beberapa bulan akan datang.

"BN begitu yakin bahawa mereka memerlukan Pas untuk menjayakan naratif Melayu-Islam dan saya melihat naratif tersebut merupakan satu modal yang sangat laris terutama sekali di dalam konteks pilihan raya,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Ariff Aizuddin, ucapan penggulungan Ahmad Zahid pada PAU 2026 turut membawa mesej jelas kepada perwakilan dan akar umbi supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan PRU16.

Katanya, kenyataan Ahmad Zahid yang memberikan kata dua sama ada BN dikeluarkan daripada kerajaan sedia ada atau Parlimen dibubarkan juga dilihat menjadi antara mesej paling memberi kesan.

“Ucapan beliau seolah-olah memalu gendang ‘perang’ dan ia memberikan kesan serta implikasi dari segi pemantapan moral.

“Apabila beliau memberikan kata dua sebegitu saya rasa ia membakar lagi semangat perwakilan serta akar umbi untuk bersiap sedia menghadapi PRU.

"Persediaan itu penting sekiranya Perdana Menteri mengambil langkah drastik mempercepatkan pembaharuan mandat," katanya.