Anak Najib pertahan gesaan Ahmad Zahid bubar Parlimen

SHAH ALAM - Cabaran Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap mana-mana pihak yang mahu parti itu menamatkan kerjasama dalam kerajaan Pusat agar membubarkan Parlimen atau mengusulkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat bukan didorong faktor emosi, kata Nooryana Najwa Najib.

Sebaliknya, Ketua Penerangan Puteri UMNO itu berkata, cabaran tersebut dibuat atas tanggungjawab untuk mempertahankan maruah parti serta mengangkat suara akar umbi.

ARTIKEL BERKAITAN: 'PM jadi PM sebab UMNO' - Ahmad Zahid

'Kalau tak yakin Kerajaan Madani, letak jawatan TPM, bawa keluar UMNO, BN' - Mahfuz

Guan Eng cabar Ahmad Zahid singkir UMNO dari Kerajaan Pulau Pinang

Menurutnya, sejak Pilihan Raya Umum lalu, UMNO telah memainkan peranan penting dan menunaikan tanggungjawabnya dalam membentuk serta memastikan Kerajaan Perpaduan kekal stabil demi kepentingan negara.

Katanya, persahabatan dan kerjasama politik yang ikhlas mesti berlandaskan rasa hormat, kejujuran, keadilan dan kepercayaan dua hala.

"Sehubungan itu, saya mengingatkan mana-mana pihak agar tidak mengambil kesempatan atau memandang rendah terhadap komitmen yang diberikan UMNO.

"Jangan sampai kesabaran UMNO dianggap sebagai kelemahan atau keikhlasan kita dalam mempertahankan kestabilan diambil mudah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Nooryana Najwa yang juga merupakan anak perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata demikian bagi mempertahankan Timbalan Perdana Menteri itu.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada Ahad menasihatkan pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, agar tidak bertindak mengikut emosi, dengan mereka yang berada dalam Jemaah Menteri perlu memberi tumpuan kepada kepentingan negara terlebih dahulu.

Sabtu lalu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN secara terbuka mencabar Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menyingkirkan gabungan itu daripada Kerajaan Perpaduan.

Menyasarkan penyokong PH yang tidak berpuas hati dengannya kerana mengkritik dasar kerajaan, Ahmad Zahid mengingatkan bahawa kerajaan Persekutuan akan runtuh tanpa BN.

"Satu (pilihan buat PH) dapatkan semula mandat baharu dengan mengadakan pilihan raya umum.

"Kedua, keluarkan kami (BN) secara rasmi (dengan) buat undi tidak percaya di Dewan Rakyat, bubar (Parlimen)," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Sabtu.