Isu DNAA Ahmad Zahid: AMK jangan hipokrit

KUALA LUMPUR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak seharusnya menjadikan keputusan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dalam kes Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai modal serangan politik terhadap kepimpinan parti itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kapar, Mohd Affifi Aris berkata, seseorang tidak boleh dianggap bersalah hanya kerana disiasat atau didakwa, sebaliknya kesalahan perlu dibuktikan melalui proses mahkamah.

“Jangan mendahului mahkamah. Jangan menghukum melalui persepsi sebelum proses undang-undang menentukan kedudukannya,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Isnin.

Kenyataan itu dipercayai sebagai respons terhadap pendirian Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairuddin, yang berkata, Ahmad Zahid perlu membersihkan namanya di mahkamah terlebih dahulu sebelum bercita-cita menjadi Perdana Menteri ke-11 selepas PRU16.

Danish berkata, masih terdapat proses perundangan berkaitan keputusan DNAA dalam kes Yayasan Akalbudi dan Mahkamah Persekutuan dijadualkan pada 8 Oktober ini mendengar permohonan Ahmad Zahid dan Peguam Negara bagi mendapatkan kebenaran merayu dalam prosiding berkaitan cabaran Badan Peguam terhadap keputusan berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Affifi berkata, keputusan BN selepas PRU-15 yang dipimpin Pengerusi BN juga merupakan Presiden UMNO itu adalah antara faktor penting pembentukan Kerajaan Perpaduan dan pelantikan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Menurutnya, sokongan UMNO dan BN kepada Kerajaan Perpaduan tidak bermakna parti itu kehilangan hak untuk bersuara, berbeza pandangan atau menentukan hala tuju sendiri menuju PRU16.

“Jangan apabila sudah berada di Putrajaya, sumbangan dan pendirian UMNO serta BN ketika negara berdepan kebuntuan politik mahu dilupakan begitu sahaja.

“Kawan dalam kerajaan tidak bermaksud UMNO kehilangan hak untuk bersuara,” katanya.

Mohd Affifi turut mempersoalkan kelantangan AMK mengenai isu lain termasuk kerugian berkaitan pelaburan KWAP dalam eFishery, dakwaan 'mafia korporat' , isu lesen perlombongan di Sabah dan dakwaan rasuah yang dibangkitkan Albert Tei.

“Jika benar perjuangan mereka adalah mengenai integriti, ketelusan dan akauntabiliti, prinsip sama mesti digunakan terhadap semua pihak, kawan ataupun lawan.

“Integriti sebenar diuji apabila prinsip yang sama turut dikenakan kepada kawan dan diri sendiri,” katanya.