Retak BN-PH makin besar - Penganalisis

KRITIKAN terbuka Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan dasar dan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang menutup tirainya pada Sabtu lalu mencetuskan persoalan mengenai hala tuju hubungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.

Nada ucapan penuh sindiran Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri termasuklah penggunaan istilah guru dipercayai merujuk kepada Anwar ketika perhimpunan terbesar parti itu turut memperlihatkan keretakan hubungan kedua-dua parti gabungan berkenaan semakin besar.

Penganalisis politik dan geostrategis, Dr Azmi Hassan berkata, kenyataan lantang dikeluarkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, meskipun masih lagi berada dalam Kabinet Anwar merupakan isyarat bahawa BN tidak mahu lagi memanjangkan kerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Malah, jaminan Ahmad Zahid bahawa BN akan kekal menyokong kerajaan pimpinan Ahli Parlimen Tambun itu sehingga tamat penggal juga semata-mata untuk menjamin kestabilan politik.

"Bersandarkan ucapan-ucapan yang dikeluarkan pimpinan tertinggi UMNO termasuk Ahmad Zahid sendiri ketika perhimpunan berkenaan menandakan hubungan dengan PH semakin retak dan sukar untuk dikembalikan. Saya melihat agak mustahil untuk BN dan PH meneruskan kerjasama lagi selepas ini.

"Dalam keadaan pra-PRU16, BN tidak akan bekerjasama dengan PH kerana daripada ucapan-ucapan serangan (Ahmad Zahid) itu seolah-olah mengisytiharkan perang politik.

"Keadaan ini berlaku atas beberapa faktor antaranya keyakinan UMNO semakin tinggi bukan semata-mata kerana UMNO kuat tetapi kerana kelemahan PH sendiri dengan pelbagai masalah dalaman dan perpecahan gabungan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Azmi, tindakan UMNO-BN yang turut menggesa supaya PRU16 diadakan segera merupakan langkah tepat susulan kecenderungan rakyat yang menolak PH menerusi beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

**media[3646544]**

Katanya, usaha UMNO-BN untuk menjalin kerjasama lebih terbuka dengan Pas juga dijangka menambahkan lagi momentum sokongan rakyat terhadap parti terbesar orang Melayu itu.

"Pada saya, pilihan terbaik untuk BN-UMNO dalam PRU16 ialah dengan bersama Pas.

"Kedua-dua pihak perlu membuktikan kesungguhan dan komitmen yang lebih serius," katanya.

Kedudukan UMNO lebih kuat

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, kritikan terbuka dibuat Ahmad Zahid itu dibuat bagi meletakkan parti berkenaan pada kedudukan lebih kuat dalam rundingan politik.

"Nada tegas, serangan dan sindiran yang kedengaran sepanjang perhimpunan itu memang menunjukkan keyakinan UMNO semakin meningkat. Prestasi BN dalam beberapa pilihan raya memberikan semangat baharu kepada kepimpinan dan akar umbi.

"Namun, UMNO perlu berhati-hati agar tidak terlalu awal menganggap sokongan rakyat telah kembali sepenuhnya. Kemenangan dalam pilihan raya tertentu belum semestinya menggambarkan pola sokongan yang sama di seluruh negara. Sokongan pengundi boleh berubah mengikut negeri, calon, isu semasa, kos sara hidup dan tahap keluar mengundi.

"Oleh itu, nada keras ini juga boleh dilihat sebagai strategi menaikkan semangat ahli serta meletakkan UMNO pada kedudukan lebih kuat dalam rundingan politik, bukan semata-mata bukti bahawa parti itu telah pulih sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, ditanya kemungkinan desakan berterusan dibuat UMNO terhadap Anwar boleh membuka jalan PRU lebih awal daripada sepatutnya, Hussain Yusri tidak menolak kemungkinan tersebut.

Ini kerana katanya, UMNO-BN dilihat begitu nekad untuk melihat rakyat diberi mandat memilih kerajaan yang akan mentadbir negara susulan pelbagai ketidakpuasan hati terhadap Kerajaan Perpaduan.

"Kemungkinan PRU16 diadakan lebih awal memang semakin terbuka, terutama apabila Presiden UMNO sendiri menyatakan hasrat supaya pilihan raya disegerakan dan menggambarkan PAU 2026 sebagai perhimpunan terakhir sebelum PRU16.

"Namun, desakan UMNO sahaja tidak menentukan tarikh pilihan raya. Pembubaran Parlimen bergantung pada pertimbangan Perdana Menteri dan perkenan Yang di-Pertuan Agong," ujar beliau.

Namun katanya, Anwar akan mengambil kira kestabilan kerajaan, keadaan ekonomi dan tahap kesiapsiagaan semua parti sebelum membuat ketetapan berhubung perkara tersebut.

"Pada pandangan saya, tekanan politik selepas PAU 2026 boleh mempercepatkan perbincangan mengenai PRU16, tetapi belum cukup untuk memastikan Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat," katanya.

Uji kebijaksanaan politik

Dalam pada itu, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin pula berkata, situasi tegang antara PH dan BN ketika ini bakal menjadi ujian besar bagi menguji kebijaksanaan politik Anwar.

Menurutnya, pertimbangan dan keputusan yang akan dibuat Pengerusi PH itu bakal menentukan hala tuju hubungan kedua-dua gabungan yang pernah menjadi seteru politik sebelum ini.

"Saya melihat respons PH kemungkinan besar akan menggunakan pendekatan 'tenang tetapi tegas'. PH mungkin membiarkan UMNO meluahkan sentimen di PAU kerana UMNO memang perlu memenuhi tuntutan akar umbinya.

"Tetapi pada masa yang sama, Anwar akan mahu memastikan kritikan itu tidak berkembang menjadi ancaman sebenar terhadap kestabilan kerajaan. Di sinilah kebijaksanaan politik Anwar akan diuji.

"Jika terlalu banyak memberi ruang kepada UMNO, PH mungkin dilihat terlalu mengalah.

"Tetapi jika terlalu keras terhadap UMNO, ia boleh menyebabkan UMNO semakin terdorong mencari alternatif politik dengan Pas atau Perikatan Nasional (PN)," katanya.