PRU16 lebih awal: MIC serah keputusan kepada BN, sedia bila-bila masa

SUNGAI SIPUT - MIC menyerahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) berhubung pendirian sama ada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu diadakan lebih awal atau sebaliknya. 

Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan berkata, sebagai parti komponen, MIC akan akur dan mengikut apa sahaja keputusan yang dibuat Pengerusi BN berhubung perkara tersebut.

“Pendirian MIC jelas, kita serah kepada pucuk pimpinan BN. Apa sahaja keputusan dibuat, MIC akan ikut,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Konvensyen MIC Perak ke-80 di Pusat Konvensyen Tun Samy Vellu di sini pada Sabtu.

Konvensyen berkenaan dirasmikan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, MIC kini berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa, sama ada tahun ini atau tahun depan.

Katanya, semua jentera parti telah diarahkan supaya bersiap siaga termasuk mengemas kini data dan maklumat pengundi sebagai persediaan menghadapi PRU.

“Presiden MIC turut mengarahkan perwakilan dan cawangan di seluruh negara, khususnya di Perak, supaya memastikan segala persiapan termasuk semakan status pengundi dilakukan segera,” ujarnya.

Ahli Parlimen Tapah itu menegaskan, soal tarikh PRU bukan keputusan individu, sebaliknya tertakluk kepada pendirian parti dan gabungan BN secara keseluruhan.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi gesaan supaya PRU16 disegerakan sebelum tempoh Parlimen Penggal Ke-15 tamat tahun depan.

Berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan mandat perlu dipulangkan kepada rakyat dan parti yang diterajuinya bersedia berdepan lawan politik di medan PRU16.