Muafakat Kabinet kekal baik walau BN tanding solo

SHAH ALAM - Muafakat dalam Jemaah Menteri diyakini kekal berada pada tahap baik meskipun Barisan Nasional (BN) memilih untuk bertanding secara solo dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN).

Penganalisis politik, Dr Mohamad Hafis Amat Simin berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menunjukkan bahawa persaingan antara parti dalam pilihan raya tidak semestinya menjejaskan kerjasama dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, pertandingan secara solo antara parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan tidak semestinya bermaksud kerjasama di peringkat Persekutuan turut terjejas.

“Apa yang semakin jelas dalam politik Malaysia hari ini ialah wujud perbezaan antara kerjasama untuk mentadbir dan kerjasama untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Kedua-duanya tidak semestinya bergerak melalui formula yang sama. Sebuah parti boleh bekerjasama di peringkat kerajaan Persekutuan tetapi pada masa sama memilih untuk menguji kekuatan sendiri di peringkat negeri,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mohamad Hafis menambah, bagi BN khususnya, keputusan untuk bertanding solo juga boleh menjadi satu usaha mengekalkan identiti politik dan autonomi parti.

“Kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya tidak semestinya bermaksud BN harus kehilangan kebebasan untuk menentukan strategi pilihan raya sendiri.

“Dari sudut strategi, langkah itu boleh difahami kerana setiap parti mahu mengetahui sejauh mana kekuatan sebenar mereka tanpa terlalu bergantung kepada rakan gabungan lain,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, jika BN memilih untuk bertanding secara solo dalam PRN Johor, Negeri Sembilan dan kemudian mengambil pendekatan sama di Melaka, keadaan itu sememangnya berpotensi memberi tekanan kepada hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, Mohamad Hafis menegaskan, pertandingan secara solo tidak semestinya secara automatik menggugat kestabilan kerajaan Persekutuan.

"Dalam konteks inilah kenyataan Perdana Menteri mengenai muafakat Kabinet boleh difahami sebagai usaha untuk membezakan antara suhu politik dengan suhu pentadbiran.

"Suhu politik sememangnya semakin meningkat apabila Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) semakin dekat. Parti-parti mula melakukan percaturan, menguji kekuatan dan menentukan kedudukan masing-masing," jelasnya.

Mohamad Hafis berpandangan, keadaan itu tidak semestinya bermaksud suhu dalam Kabinet turut meningkat pada tahap yang boleh menjejaskan pentadbiran.

“Secara keseluruhannya, pertandingan solo BN di beberapa PRN tidak semestinya menggugat Kerajaan Perpaduan dalam jangka pendek,” tambahnya.

Menurut beliau, keputusan BN untuk bergerak solo juga boleh dibaca sebagai satu isyarat bahawa parti itu sedang berusaha membina semula autonomi politiknya menjelang pilihan raya umum.

“Ini tidak semestinya bermaksud BN mahu meninggalkan Kerajaan Perpaduan. Sebaliknya, ia boleh menjadi usaha untuk mengukuhkan semula bargaining power parti.

“Dalam politik gabungan, kekuatan dalam rundingan banyak bergantung kepada keupayaan sesebuah parti membuktikan bahawa ia masih mempunyai sokongan pengundi dan boleh memenangi kerusi atas kekuatan sendiri,” katanya.

Beliau berkata, pertandingan solo mungkin menjadi sebahagian daripada proses BN menilai semula kedudukannya sebelum memasuki rundingan yang lebih besar menjelang PRU16.

Bagaimanapun, beliau mengakui jika pertandingan tersebut semakin kompetitif, keras dan dipenuhi serangan antara rakan dalam kerajaan, ia boleh menghakis kepercayaan politik secara perlahan-lahan.

"Inilah realiti yang perlu diurus dengan berhati-hati. Di Putrajaya mereka berkongsi meja Kabinet, tetapi di medan pilihan raya mereka mungkin berdiri di pentas yang berlawanan.

"Selagi perbezaan itu dapat diurus dengan disiplin politik, kerajaan masih boleh kekal stabil. Namun, jika garis antara persaingan pilihan raya dan permusuhan politik semakin kabur, suhu pilihan raya yang meningkat akhirnya boleh turut menaikkan suhu dalam kerajaan," tegasnya.