MELAKA - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri mencadangkan parti itu menjalin kerjasama serta membuka ruang perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketuanya, Jefri Safry berkata, pendekatan lebih terbuka dan pragmatik perlu diambil bagi memastikan Bersatu mampu menghadapi PRN akan datang dengan lebih tersusun.
Pada masa sama katanya, parti itu perlu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dan Sungai Udang yang pernah dimenangi parti itu pada PRN Melaka ke-15.
"Kemenangan kedua-dua kerusi berkenaan bukan diperoleh dengan mudah, sebaliknya hasil kerja keras dan pengorbanan seluruh jentera Bersatu, khususnya Bahagian, Armada, Srikandi serta anggota parti yang turun berkempen pada PRN lalu.
"Justeru, sebarang rundingan kerjasama antara Bersatu dan BN hendaklah mengambil kira rekod kemenangan, kekuatan akar umbi serta sumbangan jentera Bersatu di kedua-dua kawasan berkenaan," katanya menerusi kenyataan.
Beliau turut mencadangkan supaya kepimpinan Bersatu Melaka mengambil pendekatan proaktif dengan membuka ruang rundingan bersama kepimpinan BN Melaka, termasuk Ketua Menteri Melaka, Datuk Sri Ab Rauf Yusoh.
“Dalam apa jua bentuk rundingan yang bakal berlangsung, Armada Melaka menegaskan DUN Bemban dan Sungai Udang perlu dipertahankan
“Bersatu boleh berunding, tetapi hak dan kerusi yang telah dimenangi wajar dipertahankan dengan menjalinkan hubungan usaha sama dengan BN di negeri Melaka,” katanya.