'Formula BN kahwin dua tidak praktikal'

SHAH ALAM – Formula Barisan Nasional (BN) ‘kahwin dua’ dengan menjalinkan kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) secara serentak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat tidak praktikal untuk direalisasikan.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda berkata, secara peribadi beliau berpandangan setiap parti wajar bertanding secara bersendirian supaya kekuatan sebenar masing-masing dapat diukur pada pilihan raya berkenaan.

“Kerjasama 'kahwin dua' itu bagi saya tidak praktikal. Sebab itu pendekatan ‘go solo’ adalah yang terbaik bukan hanya untuk PH tetapi juga BN mahupun PN.

“Ia supaya semua gabungan parti ini masing-masing dapat mengukur kekuatan yang dimiliki mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan penganalisis politik, Dr Mohamad Hafis Amat Simin berpendapat BN mungkin tidak semestinya perlu memilih salah satu antara PH dan PN menjelang PRN Melaka susulan kenyataan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengibaratkan BN negeri itu sebagai 'anak dara cantik' yang menerima banyak pinangan.

Menurutnya, antara bentuk 'kahwin dua' yang lebih realistik ialah BN bekerjasama secara rasmi dengan satu gabungan sambil mempunyai persefahaman taktikal dengan satu lagi.

Namun persoalannya, sanggupkah PH dan PN menerima formula sedemikian ketika masing-masing mempunyai kepentingan sendiri, sementara BN pula mahu mempertahankan 21 kerusi yang dimenanginya pada PRN 2021?

Bagaimanapun, Mohd Hasbie menegaskan, sebagai ahli parti, beliau tetap menghormati sebarang keputusan PH untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk BN.

Kata beliau, antara cabaran utama sekiranya PH bekerjasama dengan BN adalah sejauh mana undi penyokong BN boleh dipindahkan kepada calon PH.

“Kalaupun kerjasama PH dengan BN wujud dalam PRN Melaka, adakah penyokong BN akan memberikan undi kepada calon PH? Saya khuatir majoriti mereka akan undi calon PN berbanding PH,” ujarnya.