KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) tidak lagi menjemput Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghadiri mesyuarat gabungan itu selepas parti berkenaan didakwa hanya mempunyai 23 anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), sekali gus tidak mencapai kuorum 25 orang seperti ditetapkan dalam perlembagaannya.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu dibangkitkan selepas empat Ahli Parlimen Bersatu membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 13 Julai lalu berhubung dakwaan Bersatu telah hilang kuorum untuk mengadakan mesyuarat MPT.
Menurut beliau, berdasarkan Perlembagaan Bersatu, MPT terdiri daripada 49 anggota dan sekurang-kurangnya separuh, iaitu 25 orang, diperlukan untuk membentuk kuorum.
Ujarnya, susulan aduan itu, beliau menghantar surat tunjuk sebab kepada Setiausaha Agung Bersatu pada 14 Julai lalu untuk mendapatkan penjelasan dalam tempoh dua hari.
"Kalau dia tak beri penjelasan kepada kita, maka PN beri notis bahawa PN tak akan panggil Bersatu untuk mesyuarat.
"Kita bimbang dia tak ikut perlembagaan dan melakukan satu kesalahan. Dia terlibat dengan kita membuat satu keputusan, keputusan kita pun tak sah," katanya semasa sidang akhbar pada malam Sabtu.
Sebelum itu beliau menyampaikan ceramah isu semasa peringkat Parlimen Kota Bharu di Jalan Seri Cemerlang di sini.
Ujar Takiyuddin, sehingga kini Bersatu masih belum menjawab notis berkenaan.
Menurut beliau, PN juga tidak menjemput Bersatu menghadiri mesyuarat pada 16 Julai lalu atas alasan sama.
"Dia dah keluar kenyataan dia nak guna Bersatu, dia tak nak sekali dengan kita. Kenapa perlu kita panggil dia lagi? Kenapa perlu kita bagi kerusi pada dia lagi?" katanya.
Mengulas isu kuorum itu, jelas Takiyuddin, perkara berkenaan perlu ditentukan RoS kerana ia membabitkan tafsiran perlembagaan Bersatu.
"Itu anggapan empat Ahli Parlimen ini. Saya tak nak campur, benda tu parti dia.
"Tapi saya tengok perlembagaan dia, ahli MPT dia mesti 49. Jadi nak mesyuarat mesti separuh. Separuh ni 25. Tapi dia ada 23," katanya.
Ujar beliau, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mohd Radzi Md Jidin turut mengesahkan parti itu kini mempunyai 23 anggota MPT.
Bagaimanapun, katanya, tafsiran Bersatu mengenai korum adalah berbeza kerana parti itu mengira separuh daripada 23 anggota yang ada ketika ini.
"Tak tahulah, serah pada RoS. Tak nak campurlah," katanya.