KEPUTUSAN DAP untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal membuka fasa baharu yang bakal menguji sejauh mana pengaruh DAP mampu diterjemahkan kepada pelaksanaan reformasi dan dasar kerajaan.
Dengan 1,857 daripada 2,099 undi sah menyokong usul untuk kekal dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan itu memberikan mandat jelas kepada kepimpinan DAP untuk meneruskan peranan dari dalam kerajaan.
Namun, Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi berpandangan, DAP selepas ini perlu membuat pertimbangan antara tuntutan reformasi yang hanya dilihat mewakili kepentingan kelompok tertentu dengan reformasi yang mempunyai nilai sejagat dan boleh dikongsi masyarakat lebih luas.
Katanya, pertimbangan itu penting bukan sahaja bagi menghakis stigma bahawa DAP hanya memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina tetapi juga mengukuhkan kedudukannya sebagai parti yang benar-benar berorientasikan masyarakat berbilang kaum.
**media[3619231]**
“Saya melihat DAP juga perlu mengambil kira kemungkinan konfigurasi politik selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kerana kedudukan parti selepas pilihan raya akan datang belum tentu sama seperti hari ini.
“DAP mungkin terus berada dalam kerajaan, menjadi sebahagian daripada kerajaan dengan komposisi berbeza atau kembali ke blok pembangkang.
“Justeru, tuntutan reformasi yang bersifat institusi dilihat lebih strategik kerana manfaatnya tidak bergantung kepada siapa yang memegang kuasa,” katanya.
Jelas Anis Anwar, antara tuntutan utama yang dijangka diperjuangkan DAP ialah peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen, pemansuhan Akta Hasutan dan penubuhan Ombudsman Malaysia.
Ketiga-tiga reformasi itu katanya, mempunyai kepentingan jangka panjang kepada DAP kerana ia menjamin ruang politik yang lebih adil, melindungi kebebasan bersuara serta menyediakan mekanisme akauntabiliti pentadbiran sama ada parti itu berada dalam kerajaan ataupun pembangkang.
Bagaimanapun, Anis Anwar berkata, DAP juga mungkin akan menekan kerajaan terhadap tuntutan yang lebih bersifat populis atau memberikan hasil segera, khususnya berkaitan subsidi, kos sara hidup serta tekanan terhadap perusahaan dan isi rumah.
Menurutnya, perkara itu penting kerana selepas beberapa siri keputusan pilihan raya yang kurang memberangsangkan, DAP memerlukan bukan sahaja reformasi institusi yang bersifat jangka panjang, tetapi juga hasil dasar yang dapat dirasai segera oleh pengundi.
Pada masa sama, beliau berpandangan kehilangan sejumlah kerusi dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini tidak bermaksud DAP telah kehilangan sebahagian besar sokongan pengundi teras sehingga memaksanya bertindak secara terdesak atau terlalu agresif.
Sebaliknya, sokongan pengundi teras DAP masih relatif tinggi berbanding tahap sokongan yang mampu diperoleh komponen PH lain dalam banyak kawasan.
“Keadaan itu memberikan DAP satu bentuk electoral cushion yang membolehkan parti mengambil pendekatan lebih strategik berbanding ‘reaksioner’.
“Namun, cabaran sebenarnya ialah bagaimana kekuatan DAP itu diurus dalam PH,” jelasnya.
**media[3619234]**
Dari sudut pengaruh dalam kerajaan pula, Anis Anwar melihat kedudukan DAP dalam Kabinet memberikan parti itu kelebihan yang tidak dimiliki ketika menjadi pembangkang.
Katanya, menteri-menteri DAP bukan sekadar boleh mengkritik dasar tetapi mempunyai akses secara langsung kepada proses perundingan, penyediaan dasar dan pembuatan keputusan kerajaan.
“Dalam rundingan di peringkat Kabinet, tuntutan dan desakan terhadap reformasi yang mempunyai nilai sejagat pastinya akan terus dibawa oleh menteri-menteri DAP.
“Namun, mempunyai kerusi dalam Kabinet tidak bermaksud DAP boleh melaksanakan tuntutannya secara unilateral.
“Untuk memastikan sesuatu agenda reformasi benar-benar berjaya, DAP perlu membina coalition consensus dengan komponen kerajaan lain khususnya BN, GPS serta blok politik dari Sabah dan Sarawak,” ujar beliau.
Pada masa sama, beliau melihat keputusan DAP untuk kekal dalam kerajaan juga membawa risiko tersendiri.
“Sekiranya perjalanan reformasi terus kelihatan terlalu perlahan, keputusan itu pastinya akan dipersoalkan pengundi.
“Semakin lama DAP berada dalam kerajaan, semakin sukar untuk parti meletakkan kegagalan reformasi sepenuhnya kepada pihak lain kerana parti itu sendiri merupakan sebahagian daripada struktur kuasa dan proses pembuatan keputusan.
“Dalam keadaan itu, keputusan kongres untuk kekal boleh bertukar menjadi liabiliti politik kerana pengundi mungkin mempersoalkan mengapa reformasi yang dijanjikan masih tidak bergerak pada kadar diharapkan sekiranya DAP mempunyai menteri, kerusi Kabinet dan pengaruh besar dalam kerajaan,” ujar beliau.