PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa politik strategik atau ‘kingmaker’ apabila parti itu kini dilihat mempunyai pilihan untuk menentukan hala tuju kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Perkembangan itu susulan peningkatan momentum politik BN selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, selain kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan kerjasama dengan BN di peringkat Persekutuan.
Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, kenyataan Anwar itu menunjukkan BN masih mempunyai nilai strategik yang besar dan bukan sekadar rakan kongsi biasa dalam Kerajaan Perpaduan.
“Ya. Saya melihat kenyataan Anwar itu sebagai pengiktirafan bahawa BN masih mempunyai nilai strategik yang besar, bukan sekadar rakan kongsi biasa dalam Kerajaan Perpaduan.
“Anwar sendiri menegaskan beliau memilih kestabilan dan mahu kerjasama dengan UMNO-BN diteruskan di peringkat Persekutuan, sambil mengakui hubungan baiknya dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelas Sivamurugan, kedudukan BN ketika ini lebih bersifat sebagai ‘kingmaker’ yang sedang membina semula kekuatan untuk kembali menjadi kuasa dominan dalam politik negara.
Katanya, prestasi baik BN di Johor dan Negeri Sembilan memperlihatkan UMNO-BN masih mempunyai keupayaan menggerakkan undi Melayu selain kekuatan jentera akar umbi.
“Malah analisis PRN Johor menunjukkan lonjakan BN banyak berlaku akibat peralihan sokongan Melayu daripada Perikatan Nasional (PN) kepada BN.
“Kerjasama ini jika diteruskan akan mempunyai kesan besar dalam konteks politik tanah air,” ujar beliau.
Mengulas sama ada BN mampu kembali menjadi kuasa besar pada PRU akan datang, Sivamurugan berpandangan, gabungan itu kini menunjukkan tanda-tanda kebangkitan, namun perlu memastikan momentum tersebut terus dipertahankan.
“Untuk kembali menjadi kuasa besar, ia perlu mengekalkan momentum, menyatukan undi Melayu, memperbaiki penerimaan dalam kalangan pengundi muda dan memastikan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) tidak menyebabkan undi anti-BN kembali kepada PN.
“Hubungan dengan PN juga boleh diperkukuhkan,” katanya.
Menurutnya, keputusan Anwar untuk mengekalkan kerjasama dengan BN turut memperlihatkan kekuatan politik gabungan itu masih diperlukan bagi memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Malah, beliau berpandangan kestabilan kerajaan tidak boleh dipisahkan daripada kekuatan politik BN yang ketika ini semakin mempunyai nilai tawar-menawar.
“Anwar sendiri memilih untuk mengekalkan BN kerana beliau sedar kestabilan kerajaan tidak boleh dipisahkan daripada kekuatan politik BN.
“Itu sendiri adalah ukuran pengaruh BN hari ini,” katanya.
Seorang lagi penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, peningkatan nilai BN ketika ini tidak hanya bergantung kepada jumlah kerusi Parlimen yang dimiliki, sebaliknya turut dipengaruhi kemampuan parti itu untuk memilih hala tuju kerjasama politik.
Menurutnya, kedudukan BN kini agak unik kerana diperlukan PH untuk kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, manakala PN pula melihat BN sebagai rakan penting untuk mengukuhkan peluangnya di negeri tertentu.
“Nilai BN hari ini adalah sebagai parti yang diperlukan oleh semua tetapi tidak semestinya dimiliki oleh mana-mana pihak.
“Itu memberikan BN ‘leverage’ yang besar. Jadi, pada saya, nilai BN meningkat kerana BN mempunyai pilihan,” katanya.
Mujibu berkata, rundingan antara PN dan BN berkaitan PRN Melaka menunjukkan kedudukan strategik berkenaan, selain kesediaan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima realiti kerjasama dengan UMNO selepas perkembangan politik di Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, BN kini menjadi antara kunci utama kestabilan Kerajaan Perpaduan, walaupun kestabilan itu masih bergantung kepada keseluruhan gabungan.
“BN boleh bekerjasama dengan PH di Putrajaya tetapi bertanding menentang PH di negeri.
“Ini sebenarnya sudah berlaku di Johor dan Negeri Sembilan dan tidak mustahil berulang lagi di Melaka,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan kerjasama Kerajaan Perpaduan tidak semestinya bermakna semua parti perlu mempunyai formula pilihan raya yang sama di setiap negeri.
“Itulah ruang politik yang sekarang sedang dimanfaatkan BN. Tetapi ada risikonya. Jika terlalu banyak kerjasama BN-PN di negeri, PH mungkin mula mempersoalkan sejauh mana BN benar-benar komited kepada formula Perpaduan,” katanya.
Mengulas kedudukan BN menjelang PRU16, beliau berkata, BN dijangka tidak tergesa-gesa memilih satu blok politik, sebaliknya mempunyai kepentingan untuk mengekalkan semua pilihan terbuka selama mungkin.
“PN sudah menunjukkan kesediaan berunding. DAP dan PKR pula menunjukkan kesediaan menerima realiti kerjasama dengan UMNO selepas apa yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan.
“Pada saya ini memberikan BN kuasa tawar-menawar yang lebih besar dalam tiga perkara iaitu pembahagian kerusi, kedudukan dalam kerajaan dan formula kerjasama menjelang PRU16,” katanya.
Menurut Mujibu, perubahan kedudukan itu amat ketara berbanding keadaan sebelum PRN Johor apabila BN lebih banyak dilihat sebagai parti yang perlu membuktikan semula relevansinya.
“Kerana pada saya selepas Johor dan Negeri Sembilan, BN sudah mempunyai bukti elektoral untuk menyokong tuntutan politiknya.
“Jika semua pihak mahu bekerjasama dengan BN, apakah tawaran terbaik yang boleh diberikan?” katanya.