Cuti Nurul Izzah tiada had masa - Fuziah

AYER KEROH - Tempoh cuti Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR tidak ditetapkan had masa, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh.

Menurutnya, PKR tidak menetapkan tempoh tertentu untuk Nurul Izzah bercuti daripada tugas berkenaan kerana beliau mahu menyambung pengajian.

“Setakat ini, kita tidak ada memberi had masa kepada Timbalan Presiden untuk bercuti kerana beliau ingin menyambung pelajaran.

“Insya-ALLAH, beliau akan meneruskan tugas apabila sudah bersedia,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian bersama Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini pada Jumaat.

**media[3614650]**

Fuziah berkata, Nurul Izzah hanya akan memulakan cuti selepas selesai melaksanakan tugasnya sepanjang kongres berkenaan.

“Beliau akan menyelesaikan tugas sewaktu kongres, maksudnya perasmian AMK dan Wanita, kemudian nanti dalam kongres, penggulungan dan sebagainya.

“Selepas itu baru Timbalan Presiden akan bercuti,” katanya.

Terdahulu, Nurul Izzah tiba di MITC sekitar jam 8.30 pagi dan berucap hampir 30 minit bagi menyampaikan amanat kepada para perwakilan.

Beliau bagaimanapun enggan ditemui media selepas selesai ucapan perasmian sebelum meninggalkan lokasi sekitar jam 11 pagi.

Sebelum ini, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh memohon mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan selepas pertimbangan panjang bagi membolehkannya mengorak langkah baharu meneruskan pengajian lanjutan berteraskan khidmat dan bakti tanpa semestinya terikat dengan dunia politik.

Bagaimanapun, Nurul Izzah menegaskan keputusan berkenaan tidak mengubah pendiriannya untuk terus kekal sebagai anggota PKR dan memberikan dokongan kepada perjuangan parti ke arah Malaysia yang lebih baik di bawah pimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama barisan kepemimpinan serta akar umbi.