Cadang Parlimen tamat ikut tempoh hanya retorik, gerakan terancang - AMT Wawasan

SHAH ALAM - Cadangkan supaya Parlimen ke-15 berkhidmat sehingga tamat tempoh penuh pada akhir tahun depan adalah retorik dan sebahagian gerakan terancang untuk mengaburi rakyat

Ahli Majlis Tertinggi Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Mohamed Farid Zawawi berkata, cadangan tersebut tidak lebih sebagai helah ketika kerajaan kini didakwa berada dalam keadaan tersepit.

Menurutnya, sebahagian besar agenda reformasi yang masih belum dicapai sepatutnya telah dilaksanakan sepanjang hampir empat tahun kerajaan sedia ada mengurus negara.

"Pada masa sama, agenda seperti pemerkasaan institusi, penggubalan dan penyemakan bajet lebih terinstitusi serta pindaan Perlembagaan Persekutuan adalah penambaikan yang boleh dibuat secara berterusan tanpa memerlukan sasaran akhir tarikh pencapaian.

"Alasan lain yang diberikan juga kabur dan sarat dengan kepentingan tertentu seperti isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) senegeri, kuota gender, demografi dan perluasan undi awal," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini sekumpulan organisasi masyarakat sivil dan individu dilapor menggesa Parlimen sedia ada berkhidmat sehingga tamat tempoh penuh pada 18 Disember tahun depan.

Menurut kenyataan media bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu terlibat, Parlimen sedia ada wajar melengkapkan penggalnya kecuali jika kerajaan kehilangan kepercayaan majoriti anggota parlimen.

Dalam pada itu Mohamed Farid yang juga Ketua Penyelaras Wawasan Kelantan menegaskan, sebarang perubahan membabitkan kerajaan negeri memerlukan tempoh yang panjang dan hanya boleh dilaksanakan sekiranya terdapat kepentingan bersama antara negeri.

Malah ujarnya, perkara sama turut terpakai kepada agenda kuota gender, demografi serta perluasan undi awal yang didakwa lebih menjurus kepada kepentingan kerajaan semasa berbanding kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

"Lebih menghairankan, cadangan perbincangan rentas pasti yang disebut-sebut bukan datang dari suara rakyat Malaysia.

"Setelah diselidiki senarai organisasi dan individu terlibat, ternyata ia songsang daripada demografi penduduk Malaysia dari sudut bangsa dan tempat tinggal.

"Kesimpulan yang boleh dibuat, seperti pepatah lama berbunyi, jangan lepaskan anjing tersepit. Biarlah Parlimen ke-15 mengambil perjalanan semula jadinya," ujarnya.