Azmin gelar ADUN PH sebagai 'adinda, sahabat dan teman’

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencuri perhatian apabila menggelarkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) sebagai “sahabat” dan “teman”.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu menyifatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai “adinda”, selain Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim sebagai “sahabat” dan ADUN Sentosa, Gunaraj R George sebagai “teman”.

“Amirudin adalah adindaku. Ng Suee Lim adalah sahabatku. Gunaraj R George adalah temanku. Amanah adalah peganganku. Kekal tenang adalah prinsip aku,” katanya semasa menyampaikan perbahasan pada Persidangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada Isnin.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut meminta Amirudin supaya tidak “gundah-gulana” dan meneruskan usaha membangunkan Selangor.

“Wahai Menteri Besar, jangan gundah-gulana. Jangan benarkan fahaman ini bertapak di negeri Selangor. Teruskan langkahmu untuk membangun negeri Selangor. Anda tidak berseorangan. I'm always here for Selangor,” katanya.

Dalam ucapannya, Azmin turut mengkritik kumpulan yang menurutnya melaungkan penyatuan dan ketuanan Melayu, tetapi pada masa sama didakwanya bertanggungjawab terhadap kemerosotan beberapa institusi serta dikaitkan dengan skandal kewangan.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan secara khusus mana-mana parti atau gabungan politik ketika membuat kenyataan berkenaan.

Menurutnya, kumpulan yang melaungkan penyatuan dan ketuanan Melayu tidak wajar disokong kerana didakwanya turut bertanggungjawab meruntuhkan beberapa institusi Melayu.

Institusi yang dimaksudkannya ialah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), selain skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Keadaan politik bertambah gila apabila ada kumpulan yang menghalalkan kleptokrasi, mengiyakan kebobrokan dengan fatwa baharu. Ini adalah proses memperbodohkan rakyat keseluruhannya atas nama penyatuan Melayu kononnya,” katanya.

Pada masa sama, Azmin berkata, Selangor perlu terus membangun berasaskan penyatuan yang membawa kemajuan dan memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dinikmati rakyat.

Beliau turut menekankan kepentingan komunikasi yang tepat bagi memastikan rakyat memahami dasar kerajaan negeri, selain mencadangkan supaya aspek penerangan dan unit media dipertingkatkan.

“Komunikasi yang betul dan tepat penting untuk rakyat memahami dan menerima dasar baik kerajaan negeri. Tingkatkan penerangan dan unit media kerajaan negeri.

“Saya bersedia untuk menyampaikan fakta ekonomi yang tepat kepada rakyat dalam memastikan kejayaan kita, negeri Selangor yang maju dan makmur,” katanya lagi. - Awani