SHAH ALAM - Keputusan DAP untuk menentukan kedudukannya dalam kerajaan Persekutuan menerusi pembentangan usul pada Persidangan Kebangsaan parti itu pada 16 Ogos ini tidak semestinya menyebabkan Kerajaan Perpaduan tumbang.
Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis berkata, terdapat dua senario utama mungkin berlaku susulan persidangan yang bakal dihadiri hampir 4,000 perwakilan itu.
Beliau berkata, setiap senario berkenaan akan membawa natijah berbeza terhadap kestabilan politik negara.
Menurutnya, senario pertama ialah DAP keluar daripada Pakatan Harapan (PH) atas sebab politik atau strategi, namun kekal menyokong Kerajaan Perpaduan di Parlimen.
“Dalam keadaan ini, kerajaan masih mempunyai peluang untuk terus mentadbir selagi majoriti ahli Parlimen kekal memihak kepada Perdana Menteri.
“Senario ini lebih bersifat penyusunan semula hubungan politik, bukannya pertukaran kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Isnin, DAP dilaporkan akan menentukan kedudukannya dalam kerajaan Persekutuan pada Persidangan Kebangsaan parti itu yang dijadual berlangsung pada 16 Ogos ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, satu usul berhubung perkara itu akan dibentangkan kepada perwakilan sebelum diputuskan hampir 4,000 perwakilan yang layak menghadiri persidangan berkenaan.
Mengulas lanjut, Mujibu berkata, senario pertama itu lebih realistik berbanding senario kedua iaitu DAP bertindak menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan menarik balik sokongan secara total di Parlimen.
“DAP sedar menjatuhkan kerajaan bukan sahaja memberi implikasi kepada kestabilan politik dan ekonomi, malah boleh membuka ruang kepada penjajaran politik baharu yang mungkin tidak menguntungkan parti itu sendiri.
“Justeru, jika berlaku perbezaan pendirian, ia lebih berkemungkinan diterjemahkan melalui rundingan semula hubungan politik atau penyusunan semula kedudukan dalam kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, Mujibu berkata, sekiranya senario kedua berlaku dan DAP menarik sokongan di Parlimen, kedudukan kerajaan akan berdepan situasi yang jauh lebih serius.
“Keadaan itu bergantung sepenuhnya sama ada Perdana Menteri masih mempunyai majoriti menerusi sokongan parti-parti lain atau Ahli Parlimen Bebas.
“Jika majoriti hilang, kerajaan boleh berdepan usul tidak percaya, keperluan membuktikan majoriti di Dewan Rakyat atau akhirnya pembubaran Parlimen jika tiada gabungan baharu yang mampu membentuk kerajaan,” katanya.
Mengulas kemungkinan DAP hanya mengarahkan menteri-menterinya meletakkan jawatan daripada Kabinet tetapi kekal menyokong kerajaan di Parlimen, Mujibu berkata, senario berkenaan mempunyai kemungkinan untuk berlaku.
Bagaimanapun, beliau mengakui langkah sedemikian bukanlah pilihan lazim dalam landskap politik Malaysia.
“Mengikut sistem Westminster, sesebuah parti boleh memilih untuk keluar daripada Kabinet tetapi masih mengekalkan sokongan kepada kerajaan di Parlimen bagi memastikan kerajaan mempunyai majoriti untuk terus berfungsi.
“Langkah ini boleh menjadi jalan tengah untuk DAP menunjukkan ketegasan terhadap penyokongnya sekiranya wujud perbezaan prinsip atau dasar, tanpa perlu mengambil risiko menjatuhkan kerajaan.
“Dalam keadaan semasa, kos politik untuk menyebabkan kerajaan tumbang adalah jauh lebih tinggi berbanding sekadar menarik diri daripada Kabinet,” katanya.
Namun beliau berkata, sukar bagi sesebuah parti untuk berada di luar Kabinet tetapi pada masa sama terus mempertahankan keputusan kerajaan di Parlimen.
“Keadaan itu boleh menimbulkan persoalan mengenai tahap tanggungjawab bersama serta mewujudkan tekanan politik daripada penyokong dan parti-parti lain dalam kerajaan.
“Oleh itu, jika senario ini benar-benar berlaku, saya melihatnya lebih sebagai mekanisme tekanan politik dan rundingan semula hubungan dalam Kerajaan Perpaduan, bukannya petanda bahawa kerajaan akan tumbang serta-merta,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut memberi peringatan bahawa tindakan menarik balik sokongan turut membawa risiko tersendiri kepada semua pihak terlibat.