SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) perlu muhasabah terhadap kelemahan sendiri dan tidak hanya menyalahkan isu perkauman setiap kali mengalami kekalahan dalam pilihan raya.
Aktivis politik yang juga bekas Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara, Liyana Marzuki berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini dan terbaru di Negeri Sembilan seharusnya menjadi tamparan kepada gabungan itu untuk menilai semula pendekatan serta dasar yang dilaksanakan.
Beliau berkata, walaupun terdapat dakwaan pihak lawan memainkan sentimen perkauman, PH tidak boleh hanya menuding jari tanpa menilai faktor dalaman yang turut menyumbang kepada kekalahan.
"Dengan pertarungan dua lawan satu, mereka memperoleh 11 kerusi dan kehilangan enam kerusi berbanding PRN lalu.
"Dari awal lagi kita tahu apabila BN dan PN bergabung, potensi PH untuk tumbang memang tinggi, tambahan pula MCA dan MIC semakin diterima," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Ahad.
Menurut beliau, kemenangan pihak lawan bukan semata-mata disebabkan perubahan sokongan pengundi Melayu, malah turut dipengaruhi peralihan undi daripada pengundi bukan Melayu kepada Barisan Nasional (BN).
Katanya, faktor itu antara yang dikatakan menyumbang kepada kekalahan Presiden DAP, Anthony Loke.
"Lepas ini PH dan DAP kena mula muhasabah diri, pada saya, isu perkauman semata-mata tidak akan melekat dalam kalangan bukan Bumiputera jika mereka yakin dengan prestasi ekonomi.
"Ya, secara makro ekonomi kita baik dan sudah nampak sinar di persada dunia, tetapi bagaimana pula dengan pengagihannya?" katanya.
Liyana berkata, ramai pemerhati politik berpandangan pengundi Cina khususnya dalam kalangan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (SME), golongan pertengahan serta progresif memberi perhatian kepada isu kos dan beban perniagaan.
Menurutnya, pelaksanaan e-Invois, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta isu subsidi didakwa memberi tekanan kepada kumpulan berkenaan.
"Kalau sasaran LHDN dan Kastam hanya mahu menambah hasil negara dengan terus menekan peniaga, mereka mungkin tidak berani melawan agensi terbabit, tetapi akan menterjemahkan rasa tidak puas hati itu di kertas undi.
"Kalau perkara ini berterusan tanpa tindakan, mereka mungkin kembali memilih BN, jadi PH tidak boleh lagi kalah dan hanya menyalahkan isu perkauman semata-mata, kena bangkit segera atau bersedia berdepan kemungkinan hanya bertahan satu penggal," katanya.