'Ramalan saya tepat' – Ahmad Maslan

SUBANG JAYA - Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengimbas rekod ramalan politiknya yang disifatkan tepat dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN), termasuk kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRN Negeri Sembilan.

Pada masa sama, beliau menegaskan Barisan Nasional (BN) kekal menghormati perjanjian untuk menyokong Kerajaan Persekutuan sehingga akhir penggal pentadbiran.

Beliau berkata, jangkaannya terhadap pencapaian BN di Johor dan Negeri Sembilan terbukti tepat, malah keputusan di Johor melepasi sasaran yang beliau ramalkan.

"Di Johor saya ramal 45 (kerusi), dapat 48. Negeri Sembilan saya ramal 25, dapat 25. Melaka saya ramal menang... BN menang untuk Melaka," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika mengulas kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri Sembilan selepas menyempurnakan majlis pelepasan peserta larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2026 di Sunway Pyramid, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai.

Terdahulu, lebih 15,000 pelari dari dalam negara dan 22 buah negara luar menyertai IJM Allianz Duo Highway Challenge 2026 yang kembali menganjurkan edisi ke-8 di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA).

​Acara berkenaan dianjurkan bersama oleh IJM Corporation Berhad dan Allianz Malaysia Berhad, dengan New Pantai Expressway Sdn Bhd (NPE) dan BESRAYA (M) Sdn Bhd yang juga anak syarikat IJM Corporation Berhad bertindak sebagai penganjur acara.

Mengulas kerjasama politik antara BN dan Pakatan Harapan (PH), Ahmad menjelaskan, perjanjian yang dimeterai hanya membabitkan Kerajaan Persekutuan dan tidak meliputi kerajaan negeri.

"Kita telah menandatangani dengan Kerajaan Persekutuan sehingga akhir penggal. Kita tidak ada tanda tangan peringkat negeri. Saya tak tahulah, itu mungkin kesilapan kita tidak ada tanda tangan peringkat negeri. Jadi apabila tidak ada tanda tangan peringkat negeri, maka negeri bebas membuat pilihan... tidak bersama," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan setiap negeri mempunyai kebebasan menentukan pendekatan politik masing-masing, selain menjangkakan Sarawak juga tidak akan bersama PH kerana DAP merupakan musuh politik utama di negeri itu.

"Saya tahu bahawa lepas Melaka ialah Sarawak. Sarawak juga saya jangka tidak bersama dengan PH. Sebab DAP adalah musuh politik utama negeri Sarawak. Jadi macam mana mereka nak bersama dengan PH?" katanya.

Ahmad berkata, BN akan terus menghormati perjanjian yang ditandatangani di peringkat Persekutuan dengan memberikan sokongan kepada Kerajaan sehingga tamat penggal pentadbiran.

Menurutnya, tempoh itu bergantung kepada keputusan Perdana Menteri sama ada untuk mengadakan Pilihan Raya Umum lebih awal atau meneruskan penggal sehingga penghujung mandat semasa yang bermula selepas PRU15 pada 19 November 2022.

"Sama ada Perdana Menteri nak push sehingga ke hujung ataupun pada bila-bila masa tahun depan, itu terpulang kepada beliau.

"Tetapi kami menyokong hingga akhir penggal. Itu perjanjian telah ditandatangani. Negeri tidak ada perjanjian. Jadi jangan marah... kita berlawan di negeri, berkawan di Persekutuan," katanya.