SEREMBAN – Kenderaan rasmi yang dipercayai membawa Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim tiba di Istana Hinggap di sini pada jam 11.48 malam, sekali gus mengakhiri penantian lebih 50 pengamal media yang berkampung di pekarangan istana sejak jam 10 malam.
Ketibaan beliau menarik perhatian petugas media yang menunggu perkembangan susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Difahamkan, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berada di dalam Istana Hinggap bagi menghadiri pertemuan bersama kepimpinan negeri.
Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung pertemuan tersebut, manakala pengamal media masih menunggu sebarang perkembangan lanjut di luar pekarangan istana.