JEMPOL – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap kestabilan politik di Negeri Sembilan terus dipelihara sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) diumumkan demi memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dapat diteruskan.
Beliau berkata, walau apa juga keputusan yang dibuat rakyat, semua pihak perlu menghormati mandat yang diberikan serta memberi sokongan kepada kerajaan negeri yang bakal dibentuk.
Menurutnya, kematangan politik perlu menjadi asas kepada semua pihak bagi memastikan negeri itu terus berkembang sebagai antara negeri maju di negara ini.
"Kita tidak mahu rumah siap tetapi berbunyi. Siapa sahaja yang mendapat perkenan Tuanku untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar mesti mendapat sokongan padu semua pihak.
"Kita mahu Negeri Sembilan terus muncul sebagai salah sebuah negeri yang maju, bukan sahaja dari segi industri dan ekonomi, malah mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda serta meningkatkan kuasa beli rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program GEMA@KEMAS DUN Jeram Padang di Dewan Terbuka Kampung Taman Jaya, Bahau pada Jumaat.
**media[3601423]**
Ahmad Zahid berkata, walaupun parti-parti politik bertanding di gelanggang berbeza pada PRN, hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan perlu terus diperkukuhkan.
Menurutnya, komitmen BN untuk terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal pentadbiran tetap tidak berubah demi menjaga kepentingan negara.
"Kita berada dalam kerajaan yang sama di Putrajaya, tetapi di Negeri Sembilan dan Johor kita berada di gelanggang yang berbeza. Inilah uniknya demokrasi di Malaysia.
"Apa yang berlaku di peringkat negeri dan apa yang berlaku di peringkat nasional adalah berbeza. Yang penting, kestabilan politik mesti diwujudkan selepas rakyat membuat keputusan," katanya.
Mengulas sasaran kadar keluar mengundi, beliau berkata, BN berharap peratusan kehadiran pengundi mampu melepasi unjuran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak lebih 71 peratus.
Beliau berkata, trend memberangsangkan pengundian awal yang merekodkan lebih 91.1 peratus disifatkan sebagai petunjuk positif dan berpotensi menjadi faktor yang mempengaruhi keputusan PRN.
"Jika trend ini dapat dipertahankan atau menghampiri kadar pengundian awal, ia boleh menjadi 'game changer' di Negeri Sembilan. Saya harap begitu," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid enggan mengulas sebarang unjuran kemenangan yang dibuat pelbagai pihak kerana menurutnya, keputusan sebenar hanya boleh ditentukan selepas semua undi dikira.
"Itu hanya analisis berdasarkan sampel kecil. Kita tunggu keputusan rasmi apabila semua saluran dan peti undi selesai dikira. Ketika itu barulah kita mengetahui keputusan sebenar," ujarnya.
Ditanya mengenai kemungkinan kerjasama politik pada masa depan termasuk persefahaman antara BN dan Perikatan Nasional (PN), beliau menegaskan BN sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan.
"Politik ini sangat dinamik. Kedinamikan itulah yang mematangkan politik di Malaysia dan kita sentiasa terbuka kepada sebarang perbincangan," katanya.
Mengulas dakwaan mengenai kewujudan 'formula rahsia' yang menyumbang kepada sokongan terhadap BN, Ahmad Zahid berkata, sokongan diterima parti itu berlaku secara semula jadi tanpa strategi tertentu.
"Tiada formula. Gelombang itu berlaku sendiri secara organik dan kita berharap momentum itu dapat diteruskan," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat yang memberikan sambutan baik sepanjang tempoh berkempen dan berharap sokongan itu diterjemahkan dalam bentuk undi pada hari pengundian.
"Saya ucapkan terima kasih atas sambutan luar biasa yang diberikan kepada calon-calon Barisan Nasional. Saya harap sambutan ini akan diterjemahkan dalam bentuk undi esok," katanya.