'Kekal undi PH untuk tolak politik tiada hala tuju jelas BN, PN' – Penganalisis

KUALA LUMPUR - Pengundi Negeri Sembilan perlu memilih sama ada mahukan kerajaan yang utuh, mempunyai rekod prestasi pentadbiran yang baik dan selari dengan kerajaan Persekutuan atau memberikan sokongan kepada kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang 'huru-hara'.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang membabitkan kerjasama utuh PKR, DAP dan Amanah di negeri itu mempunyai rekod pentadbiran yang bersih, berpengalaman menjaga semua kaum dengan aman damai dan membantu meringankan kos sara hidup rakyat di semua segmen masyarakat.

Menurutnya, di satu pihak lagi, pengundi Negeri Sembilan diberikan pilihan untuk menyokong gabungan BN-PN yang tidak mempunyai hala tuju yang jelas sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan serta bertunjangkan perjuangan berteraskan perkauman semata-mata.

“Rakyat Negeri Sembilan yang bijak akan memilih kerajaan yang telah sedia ada, tiada alasan yang kuat untuk digantikan dengan suatu kerjasama politik yang lemah.

“PH menawarkan manifesto yang menggariskan 10 komitmen utama, antaranya mengekalkan kerajaan yang stabil, bersih dan mesra rakyat, memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat (SSR), mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi serta menyediakan 20,000 rumah mampu milik,” katanya.

Kerjasama antara BN dan PN dilihat bercakaran sesama sendiri terutama selepas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan supaya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menumpukan perhatian di Kedah dan tidak perlu datang berkempen di Negeri Sembilan.

Kenyataan itu dibuat berikutan rasa kurang senang terhadap ucapan kontroversi pemimpin Pas itu yang menyentuh isu kaum serta sensitiviti masyarakat majmuk.

Pada masa yang sama, Ahmad Zahid turut memberikan ulasan sinis kepada kenyataan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang mencadangkan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Mengulas lanjut, Mashitah berkata, undi rakyat negeri itu pada esok sangat penting kerana ia akan mempengaruhi suasana dan percaturan politik negara di masa depan.

“Siapa jua kerajaan, rakyat Negeri Sembilan harus tidak memperjudikan masa depan dengan mengundi pakatan politik yang rapuh,” katanya.