Peruntukan naik taraf sekolah pondok Negeri Sembilan diumum selepas PRN - Anwar

PORT DICKSON - Pengumuman peruntukan bagi menaik taraf sekolah-sekolah pondok di Negeri Sembilan akan dibuat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) selesai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil kerana kerajaan perlu mematuhi tempoh pilihan raya, namun memberi jaminan institusi pondok di negeri ini tetap akan menerima perhatian sebagaimana dilaksanakan di beberapa negeri lain.

"Dua minggu lalu saya umumkan projek berjuta ringgit untuk baiki pondok-pondok di Perak. Di Negeri Sembilan, selain daripada yang dilakukan oleh Menteri Besar, saya tak boleh umumkan sekarang, kita kena umum pilihan raya, lepas pilihan raya, insya-ALLAH, kita akan amalkan semua sekolah-sekolah,

"Saya dah lakukan di Perak, saya lakukan sebahagian di Kelantan. Kelantan, walaupun bukan penyokong-penyokong tegar (Pakatan Harapan) kita, tapi sebab pendidikan yang ini kita lakukan," katanya," katanya ketika berucap pada Program Linggi Bermunajat di Dewan Orang Ramai Linggi di sini pada Khamis.

Turut hadir, Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi yang juga Pengerusi parti gabungan berkenaan di Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Anwar berkata, kerajaan telah memulakan langkah memperkasa institusi pendidikan Islam sebaik mengambil alih pentadbiran pada penghujung 2022.

Menurutnya, antara tindakan awal yang dilakukan ialah mengembalikan peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang dihentikan sejak 2003.

"Pada bulan November 2022 saya umumkan kita kaji, pada tahun 2023 saya kembalikan semua peruntukan sekolah agama rakyat yang dahulu dihentikan.

"Kerana ada orang menjanjikan masa itu dan beberapa kerajaan silih berganti tidak mengubah dasar itu. Daripada 2003 sehingga 2022, tetapi pada 2023 kita kembalikan peruntukan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan kemudiannya meneruskan usaha memperkasakan sekolah agama rakyat dan institusi pondok dengan memberi perhatian terhadap kemudahan serta keperluan pembelajaran.

Menurutnya, pada tahun lalu beliau turut mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama dari Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan bagi mendapatkan pandangan berhubung penambahbaikan sistem pendidikan pondok.

"Saya kata kita tidak akan ganggu manhaj tarbiah dia. Itu bukan bidang saya. Tapi saya minta satu sahaja, boleh tak kita perbaiki kurikulum.

"Selain daripada yang diamalkan sekarang, umpamanya mantapkan bahasa Melayu kerana jangan kita andaikan semua menguasainya dengan baik," katanya.

Anwar berkata, kerajaan juga mahu memastikan pelajar pondok tidak ketinggalan dalam penguasaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan teknologi maklumat tanpa menjejaskan kurikulum sedia ada.

"Kita tak mahu anak Melayu masuk di pondok ketinggalan. Sebab itu kita hantar MDEC memberi penerangan mengenai teknologi supaya mereka memahami AI dan teknologi maklumat.

"Tidak mengurangkan kurikulum yang ada, tetapi kita tambah. Ini tindakan yang kita ambil kerana kita yakin dengan kekuatan sistem pendidikan Islam," katanya.

Beliau berkata, usaha memperkasakan institusi pondok bukan sekadar menaik taraf kemudahan fizikal, malah bertujuan melahirkan generasi yang menguasai ilmu agama, akhlak, syariah serta teknologi secara seimbang.