KEHADIRAN lebih 200,000 pengundi muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dijangka menjadi antara faktor penentu yang mampu mempengaruhi parti mana berjaya membentuk kerajaan negeri.
Kelompok pengundi muda ini bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar, malah turut membentuk segmen signifikan di kerusi majoriti Melayu serta kerusi campuran yang lazimnya menjadi medan persaingan sengit antara parti-parti bertanding.
Keupayaan setiap parti untuk memahami aspirasi dan memenangi keyakinan golongan muda dijangka menjadi penentu penting terhadap kedudukan mereka selepas hari pengundian pada 1 Ogos.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, pengundi muda kini lebih cenderung menilai keaslian, kredibiliti dan kesungguhan sesebuah parti dalam menawarkan penyelesaian, berbanding sekadar retorik politik.
Menurut beliau, golongan itu mahukan dasar dan pendekatan yang benar-benar menyentuh keperluan harian mereka, khususnya berkaitan peluang pekerjaan berkualiti, kos sara hidup, pemilikan rumah pertama, pembangunan ekonomi digital serta peningkatan kemahiran menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Dalam PRN kali ini, pengundi muda bukan lagi sekadar pelengkap kepada jumlah pengundi, tetapi berpotensi menjadi kingmaker di banyak kerusi campuran dan majoriti Melayu.
"Parti yang mampu memahami aspirasi mereka melalui dasar yang praktikal, komunikasi berkesan dan kepimpinan diyakini mempunyai kelebihan untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya.
"Dalam konteks ini, tingkah laku pengundi muda selari dengan pendekatan Teori Pilihan Rasional (Rational Choice Theory) iaitu, mereka cenderung membuat pilihan berdasarkan manfaat yang dijangka dapat diperoleh, bukannya semata-mata berdasarkan sentimen atau kesetiaan kepada sesebuah parti," katanya kepada Sinar Harian.
Ditanya mengenai perbezaan kecenderungan pengundi muda berbanding individu lebih berusia, Mashitah berkata, secara umumnya kelompok berkenaan lebih terbuka kepada perubahan dan kurang terikat dengan kesetiaan tradisi terhadap mana-mana parti politik.
Jelasnya, pengundi muda mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber, khususnya media sosial dan lebih gemar membuat perbandingan sebelum membuat keputusan.
"Berbeza dengan sebahagian pengundi lebih berusia yang mungkin mempunyai kesetiaan parti lebih kukuh berdasarkan pengalaman atau sejarah.
"Golongan muda pula, lebih mudah mengubah sokongan jika mereka merasakan sesuatu parti lebih meyakinkan dan relevan dengan keperluan semasa," katanya.
Sementara itu, Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad turut berpandangan, sentimen semasa dan isu mikro menyentuh kehidupan harian golongan muda dilihat menjadi faktor utama yang mempengaruhi keputusan pilihan raya kumpulan berkenaan.
Menurut beliau, parti bertanding juga perlu memanfaatkan secara serius strategi kempen digital menerusi pelbagai platform media sosial mengambil kira pendaftaran 213,772 pengundi berumur bawah 30 tahun daripada 889,490 keseluruhan pengundi dalam daftar pemilih rasmi PRN Negeri Sembilan kali ini.
"Bagi saya, golongan muda hari ini lebih responsif terhadap naratif dasar berorientasikan penyelesaian isu kos sara hidup, peluang pekerjaan berkualiti serta elaun latihan industri berbanding retorik politik tradisional.
"Ini kerana, golongan tersebutlah yang sedang bergelut dengan situasi semasa terutama hal berkaitan ekonomi dan survival untuk hidup baik sebagai orang bujang, kelompok belia yang baharu memulakan hidup sebagai keluarga atau baru berkahwin dan sebagainya," katanya.
Ujarnya lagi, parti bertanding perlu mengambil peluang dengan mengetengahkan tawaran manifesto yang praktikal mengikut konteks semasa seperti pemerkasaan ekonomi gig, perumahan mampu milik dan program kemahiran teknologi tinggi.
Beliau menambah, sentimen semasa semata-mata belum mencukupi untuk menarik pengundi muda dalam memilih parti bertanding, sebaliknya ia perlu disusuli kempen yang lebih dekat dengan golongan tersebut.
"Golongan muda lebih cenderung menilai sama ada sesuatu isu memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka. Isu seperti peluang pekerjaan, gaji permulaan, kos sara hidup, pendidikan, internet berkualiti, kesihatan mental dan peluang keusahawanan lebih mudah mempengaruhi pilihan mereka.
"Mereka juga cepat menilai sama ada janji dibuat mempunyai pelan pelaksanaan yang jelas atau sekadar slogan kempen atau omong kosong seperti digula-gulakan," katanya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada kehadiran pemimpin muda dalam parti boleh memberi kesan kepada sokongan pengundi kelompok usia berkenaan, Syahruddin berkata, sejak kebelakangan ini ia memberi kesan positif, namun tahap keberkesanannya bergantung pada wibawa dan gagasan yang dibawa.
Beliau juga turut memberi gambaran dengan mengaitkan dapatan yang diperoleh menerusi Kajian Geopolitik dan Elektoral Borneo (GeoPES) -UMS yang turut melibatkannya.
"Hasil kajian kami di GeoPES-UMS mendapati bahawa kebanyakan calon-calon muda yang diketengahkan oleh parti-parti politik utama khususnya berjaya mewujudkan rasa keterkaitan atau relatability dan membina persepsi dalam kalangan akar umbi serta pengundi bahawa aspirasi belia telah diwakili secara lebih adil.
"Walau bagaimanapun, faktor umur semata-mata tidak memadai jika calon-calon berkenaan dilihat sekadar lambang politik tanpa menonjolkan idea serta wawasan yang pragmatik," ujarnya.
Syahruddin menambah, pengundi muda menilai kewibawaan, kelayakan, serta kebolehan calon dakam mengutarakan idea baharu bagi memajukan kawasan.
Katanya, kehadiran tokoh muda bertanding di kerusi majoriti Melayu dan kerusi campuran terbukti mampu meningkatkan peratusan keluar mengundi apabila disokong dengan jenama politik yang berintegriti tinggi.
ends