TEMPOH 48 jam sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu ini disifatkan sebagai fasa paling kritikal.
Dalam tempoh itu, pecutan terakhir jentera parti akan menjadi penentu bagi menggerakkan penyokong keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing melalui kempen lapangan, media sosial serta rayuan daripada pimpinan tertinggi parti.
Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kebiasaannya tempoh akhir kempen lebih tertumpu kepada usaha memobilisasi pengundi berbanding mengubah kecenderungan politik kerana majoriti mereka sudah membuat pilihan lebih awal.
Menurut beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan kadar keluar mengundi antara 72 hingga 75 peratus, meningkat berbanding 68.3 peratus pada PRN 2023.
Katanya, kadar undi awal sebanyak 91.06 peratus pula hanya membabitkan kumpulan khusus seperti anggota keselamatan dan tidak semestinya mencerminkan kadar keluar mengundi awam.
“Keputusan seseorang untuk keluar mengundi dalam tempoh akhir lazimnya ditentukan oleh gabungan faktor praktikal, politik dan emosi.
“Faktor paling asas ialah kemudahan untuk pulang mengundi termasuk jarak perjalanan, kos pengangkutan, cuti kerja, kesesakan jalan raya, urusan keluarga dan keadaan cuaca,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelas Awang Azman, faktor tersebut amat penting di Negeri Sembilan kerana ramai pengundi muda bekerja di Kuala Lumpur, Selangor, Johor atau Singapura.
Beliau berkata, kajian semasa turut mendapati berada di luar Negeri Sembilan atau kesukaran perjalanan merupakan antara halangan utama bagi mereka yang masih belum pasti untuk mengundi, selain komitmen kerja dan faktor keselesaan.
Katanya, persepsi bahawa sesuatu pertandingan itu sengit juga menjadi pemangkin kepada kehadiran pengundi kerana mereka percaya satu atau dua undi mampu menentukan pembentukan kerajaan.
“Sebaliknya, apabila kemenangan sesuatu parti dianggap sudah pasti, penyokong boleh menjadi terlalu yakin dan memilih untuk tidak keluar mengundi,” ujarnya.
Beliau berkata, keupayaan jentera parti melaksanakan operasi membawa keluar pengundi melalui hubungan secara bersemuka, penyediaan pengangkutan, semakan saluran mengundi serta peringatan kepada penyokong lazimnya lebih berkesan meningkatkan penyertaan berbanding sekadar ceramah atau iklan politik.
Ditanya kemungkinan isu besar atau kontroversi pada saat akhir kempen, Awang Azman berkata, sesuatu isu hanya memberi kesan sekiranya ia bersifat baharu, mudah difahami, dipercayai dan mempunyai pihak yang jelas untuk dipertanggungjawabkan.
Menurutnya, dalam kebanyakan keadaan, isu saat akhir lebih berupaya membangkitkan semangat penyokong yang kurang bermotivasi untuk keluar mengundi serta mengukuhkan pilihan pengundi yang sememangnya sudah mempunyai kecenderungan politik berbanding menukar sokongan penyokong tegar kepada blok lain.
“Misalnya, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji mengandungi penemuan serius, ia berpotensi mempunyai nilai mobilisasi kerana Tabung Haji berkait rapat dengan amanah, ibadah, simpanan umat Islam dan integriti pentadbiran.
“Pembangkang boleh membingkaikan isu berkenaan sebagai persoalan kelewatan pendedahan, ketelusan dan perlindungan terhadap pihak tertentu manakala kerajaan pula boleh menegaskan penerbitan laporan itu membuktikan komitmen terhadap keterbukaan, proses undang-undang serta pemulihan institusi,” jelasnya.
Tambah Awang Azman, secara umum, kadar keluar mengundi yang rendah sedikit memihak kepada BN-PN dengan syarat kedua-dua blok berjaya memindahkan sokongan antara satu sama lain.
PH pula lebih terdedah sekiranya pengundi luar kawasan, golongan muda, pengundi bandar serta sebahagian pengundi Cina dan India tidak hadir mengundi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kadar keluar mengundi rendah tidak secara automatik menguntungkan BN-PN kerana sekiranya penyokong tradisional BN enggan mengundi calon PN atau penyokong Pas dan Bersatu tidak bersedia memindahkan undi kepada UMNO, PH masih boleh mendapat manfaat melalui perpecahan undi Melayu.
Menurutnya, hampir satu pertiga kerusi pada PRN 2023 dimenangi dengan majoriti kurang 1,000 undi termasuk Juasseh, Kota, Ampangan dan Seri Menanti.
“Tempoh 48 jam terakhir mungkin tidak mengubah sentimen seluruh negeri, tetapi boleh mengubah keputusan di enam hingga lapan kerusi marginal dan menentukan blok yang memperoleh majoriti 19 kerusi,” jelasnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berpandangan, isu besar atau kontroversi pada saat akhir tidak banyak mempengaruhi pilihan pengundi kerana identifikasi kepartian ketika ini masih kukuh dan kebanyakan pengundi telah menetapkan pilihan masing-masing.
Jelasnya, isu RCI Tabung Haji misalnya, walaupun merupakan isu nasional, namun dalam konteks Negeri Sembilan ia tidak begitu ‘menyengat’ kerana pengundi dipercayai telah membuat keputusan lebih awal.
Sebaliknya, isu tempatan seperti sensitiviti sistem adat serta sentimen anti-DAP lebih dominan dalam mempengaruhi corak pengundian.
Beliau turut berpandangan kadar keluar mengundi sama ada tinggi atau rendah tidak semestinya menguntungkan mana-mana parti kerana sistem pilihan raya negara menggunakan kaedah ‘first-past-the-post’.
“Jika kadar keluar mengundi tinggi sekali pun, tiada jaminan ia akan menguntungkan mana-mana blok politik,” katanya.
PENDORONG PENGUNDI KELUAR MENGUNDI
1. Kemudahan pulang mengundi
- Jarak perjalanan
- Kos pengangkutan
- Cuti kerja
- Kesesakan jalan raya
- Urusan keluarga
- Faktor cuaca
2. Persepsi pertandingan sengit
- Percaya satu atau dua undi boleh menentukan kerajaan
- Jika parti dianggap sudah pasti menang, penyokong cenderung tidak keluar mengundi
3. Kekuatan jentera parti
- Hubungan bersemuka
- Kempen media sosial
- Rayuan pemimpin tertinggi
- Semakan saluran mengundi
- Penyediaan pengangkutan
KERUSI MARGINAL JADI PENENTU
1. Hampir 1/3 kerusi PRN 2023 majoriti bawah 1,000 undi
Antara kerusi:
- Juasseh
- Kota
- Ampangan
- Seri Menanti
2. Tempoh 48 jam terakhir
- Berpotensi mengubah keputusan 6 hingga 8 kerusi marginal
- Menentukan blok yang memperoleh majoriti mudah 19 kerusi
RCI TABUNG HAJI
Berpotensi beri kesan jika:
- Mengandungi penemuan serius
- Mudah difahami
- Dipercayai
- Ada pihak yang jelas dipertanggungjawabkan
Kesan dijangka:
- Lebih memobilisasi penyokong sedia ada
- Impak kepada pengundi atas pagar dijangka terhad