'Hentikan retorik perkauman usang' - Pusat KOMAS

SHAH ALAM - Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS) mengecam kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang didakwa menggunakan retorik perkauman usang ketika berucap dalam kempen politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Dalam satu kenyataan, badan bukan kerajaan (NGO) itu membidas dakwaan bahawa masyarakat Malaysia berketurunan Cina dan India mempunyai 'tanah air' untuk kembali, manakala orang Melayu hanya mempunyai satu tanah air iaitu Tanah Melayu.

Menurut Pusat KOMAS, naratif sedemikian merupakan retorik populis yang telah digunakan oleh golongan ketuanan Melayu sejak kemerdekaan Malaya 69 tahun lalu bagi meraih sokongan politik.

"Sejak kebelakangan ini beberapa ahli politik termasuk Datuk Seri Muhammad Sanusi, Khairy Jamaluddin, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi mengulangi kitaran penggunaan taktik usang ini yang disifatkan mampu menyemarakkan kebencian berasaskan kaum dengan harapan mempengaruhi pengundi.

"Adalah tidak wajar bagi individu berprofil tinggi dan berstatus sedemikian, yang sebelum ini telah merayu kepada pelbagai lapisan pengundi, untuk merendah-rendahkan minoriti pada masa yang sama," menurut kenyataan itu.

Pusat KOMAS turut mengkritik Pas dan UMNO yang sebelum ini pernah menyeru perpaduan kaum serta menolak naratif sedemikian, namun didakwa terus membenarkan wakil mereka memainkan sentimen perkauman setiap kali musim pilihan raya.

NGO itu turut menyifatkan penggunaan naratif 'Tanah Melayu' untuk menggambarkan negara ini sebagai bersifat eksklusif kerana Malaysia merangkumi lebih daripada Semenanjung.

"Perkara itu selari dengan amaran yang pernah disuarakan oleh Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau bahawa retorik sedemikian melayan Sabah dan Sarawak seolah-olah hanya sebuah 'lanjutan Tanah Melayu'," katanya.

Pusat KOMAS berkata, Malaysia sejak sebelum era penjajahan lagi merupakan sebuah negara berbilang etnik dan pengelompokan masyarakat di bawah kategori kaum yang besar menjejaskan kepelbagaian etnik negara selain mengabaikan sejarah penghijrahan yang berlaku selama berabad-abad.

Menurutnya, dari sudut sejarah dan perundangan, konsep Malaysia meletakkan semua warganegara pada taraf yang sama tanpa pengecualian dan perkara itu merupakan fakta yang tidak boleh dipertikaikan.

"Walaupun Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak, peruntukan itu diwujudkan sebagai langkah penyamaan ekonomi, bukannya bagi mewujudkan sistem apartheid atau menetapkan taraf berbeza berdasarkan asal etnik," katanya.

Sehubungan itu, Pusat KOMAS mengingatkan rakyat supaya tidak menjadikan sentimen ketuanan kaum sebagai faktor dalam membuat keputusan di pusat pembuangan undi.

Pada masa sama, NGO itu menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang terus menggunakan naratif memecahbelahkan sama ada sebelum, semasa atau selepas pilihan raya.

"Malaysia yang dipimpin oleh Kerajaan Madani mesti mengambil pendirian tegas menentang rasisme dan tidak bergantung secara berterusan kepada pihak berkecuali untuk bersuara menentangnya," menurut kenyataan itu.

Pusat KOMAS turut merayu kepada semua parti politik dan calon yang bertanding supaya menahan diri daripada menggunakan bahasa yang memecahbelahkan sepanjang tempoh berkempen, sebaliknya membiarkan manifesto masing-masing menjadi asas untuk meraih sokongan rakyat.

NGO itu turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus mempertahankan semangat demokrasi yang sihat dengan mengutamakan nilai inklusiviti serta perpaduan dalam masyarakat.