PH dominan bandar, buru sokongan Melayu

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR dan Amanah masih bergelut untuk menembusi sentimen pengundi Melayu dalam separuh masa pertama kempen PRN Negeri Sembilan.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, gabungan itu berdepan cabaran lebih besar di DUN majoriti Melayu apabila sentimen pengundi terhadap PH masih berhati-hati.

"PH masih bergelut untuk menembusi sentimen pengundi Melayu yang lebih berhati-hati terhadap PH. Kempen mereka banyak bergantung kepada kekuatan calon tempatan, rekod perkhidmatan dan isu setempat berbanding naratif nasional," katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa secara keseluruhan masih terlalu awal untuk menentukan parti mana benar-benar mendahului kempen.

"Selepas lebih seminggu berkempen, setiap gabungan memperlihatkan kekuatan di gelanggang masing-masing tanpa wujud gelombang besar yang mampu mengubah landskap persaingan secara ketara," katanya.

Menurut Hisommudin, BN dan PN pula dilihat lebih banyak menumpukan usaha untuk mempengaruhi segmen pengundi Melayu.

Katanya, tumpuan utama kedua-dua gabungan itu adalah meyakinkan penyokong masing-masing supaya berlaku perpindahan undi antara dua blok tersebut.

"Di banyak kawasan majoriti Melayu, kempen lebih bersifat mempertahankan pengaruh sedia ada dan menarik pengundi atas pagar, bukannya mencipta gelombang baharu," katanya.

Beliau berkata, PH masih mempunyai kelebihan di DUN majoriti Cina apabila DAP memperlihatkan jentera yang lebih tersusun, berdisiplin dan agresif turun ke lapangan.

Hisommudin berkata, gerak kerja dari rumah ke rumah, penglibatan sukarelawan serta mobilisasi jentera parti berjalan dengan baik bagi memastikan pengundi teras kekal keluar mengundi, sekali gus memberi PH sedikit ruang bernafas di kawasan bandar.

"BN dan PN pula masih belum benar-benar berjaya mencabar dominasi PH di kawasan bandar. Strategi mereka lebih bergantung kepada kemampuan menggabungkan sokongan pengundi Melayu bagi mengimbangi kelebihan undi bukan Melayu yang dimiliki PH di DUN campuran dan bandar.

"Keberkesanan strategi ini hanya akan dapat diukur apabila kadar keluar mengundi sebenar diketahui," ujarnya.

Beliau berkata, suasana kempen setakat ini juga masih terkawal dan sederhana tanpa isu besar yang mencetuskan perubahan sentimen secara mendadak.

"Lazimnya, kempen akan mula memasuki fasa lebih rancak menjelang hujung minggu apabila pengundi luar mula pulang ke kawasan masing-masing dan kehadiran pemimpin utama parti dipertingkatkan.

"Pada ketika itulah momentum sebenar kempen dijangka mula terbentuk dan memberi petunjuk yang lebih jelas mengenai arah sokongan pengundi," kata beliau.