Formula Negeri Sembilan belum tentu sesuai di Pahang - Mohd Sharkar

KUANTAN - Kaedah atau pendekatan politik yang digunakan di sesebuah negeri tidak semestinya sesuai dilaksanakan di negeri lain, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Menurutnya, setiap negeri mempunyai keadaan tersendiri dan perkara itu perlu diberi perhatian dalam menentukan sesuatu pendekatan politik.

“Apa yang berlaku di Negeri Sembilan.., itu di Negeri Sembilan...maknanya hanya orang Makkah saja tahu jalan lorong-lorong di Makkah.

“Jadi, orang Negeri Sembilan tahu kaedahnya dan tidak semestinya kaedah sama itu diguna pakai di Pahang, Johor, Melaka atau Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan sama ada formula politik yang digunakan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan boleh digunakan di negeri lain, termasuk Pahang.

Sebelum itu, Mohd Shahkar merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Indera Mahkota kali ke-23 di Dewan Atabara Indera Mahkota di sini pada Ahad.

Hadir sama pada majlis tersebut, Ketua UMNO Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid dan seluruh perwakilan kawasan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Ada sesuatu yang tak kena dalam Kerajaan Perpaduan' - KJ

'Kerjasama UMNO, Pas mampu bentuk Kerajaan Selangor' - Noh Omar

'Selepas Johor, parti Rafizi akan dimalukan lagi di Melaka' - Penganalisis

'Menggelupur sangat bila kita nak bersatu' - Akmal Saleh bidas AMK

PH tawar manifesto yang bukan sekadar janji - Aminuddin

SPR keluar 13,263 kertas undi pos bagi PRN Negeri Sembilan

Mohd Sharkar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang berkata, perbezaan antara politik di peringkat negeri dan Pusat perlu difahami kerana kedua-duanya mempunyai keadaan tersendiri.

"Kita kena lihat suasana politik hari ini dari konteks lebih luas, kita kena fahamlah apa yang berlaku di peringkat Pusat dan negeri adalah entiti yang berbeza," ujarnya.

Beliau menambah, perubahan landskap politik ketika ini menyebabkan semua pihak perlu melihat pendekatan politik secara lebih terbuka berbanding sebelum ini.

“Kita sudah tidak boleh fikir cara yang sangat sempit dan perlu terbuka.

“Dulu lain sebab UMNO menguasai Pusat dan negeri, tapi sekarang ini kita ada 10 parti Melayu pastinya rakyat sudah ada banyak pilihan, bukan UMNO satu saja," ujarnya.

Menyentuh mengenai permintaan UMNO Indera Mahkota yang mahu sekurang-kurangnya dua kerusi diberikan kepada mereka dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, Mohd Sharkar menjelaskan perkara itu merupakan pandangan akar umbi yang perlu dihormati.

"Kita serahkan kepada pimpinan UMNO negeri untuk membuat keputusan. Pandangan mereka nak dua kerusi, sama ada kita bergabung atau tak dengan mana-mana parti untuk PRU akan datang, kita tengoklah (kerusi) mana yang lebih sesuai," ujarnya.

Kawasan Indera Mahkota mempunyai tiga kerusi iaitu satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN iaitu Semambu dan Beserah.

Sebelum ini, Setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi mengumumkan beliau diberi amanah untuk merampas kerusi Parlimen Indera Mahkota yang ketika ini disandang Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Parti Bersama dalam siri jelajahnya pada Jun lalu juga memberi bayangan kerusi Parlimen Indera Mahkota menjadi antara kerusi sasaran mereka di Pahang.