Kenyataan Sanusi: Jangan manipulasi untuk raih sokongan politik - Syed Ali

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mendakwa kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung “Tanah Melayu” telah dimanipulasi oleh pihak tertentu demi kepentingan politik, sambil menegaskan fakta sejarah tidak wajar dipadam atau dipolitikkan.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras itu berkata, sejarah negara perlu dilihat secara objektif dan tidak harus dikaburkan semata-mata untuk mengambil hati mana-mana pihak atau memenuhi kepentingan politik.

Menurutnya, kenyataan Muhammad Sanusi bahawa “Tanah Melayu” merupakan satu-satunya tanah air orang Melayu perlu dinilai berdasarkan fakta sejarah, bukannya terus dilabel sebagai bersifat politik atau perkauman.

“Saya tidak nampak bagaimana ucapan Menteri Besar Kedah itu boleh ditafsirkan sebagai berbau politik dan perkauman.

“Saya juga tidak menyokong atau memihak kepada hujah Muhammad Sanusi, tetapi saya mengajak semua pihak terutama pemimpin Melayu agar tidak mempolitikkan setiap isu secara berlebihan hanya untuk mengambil hati pihak tertentu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Syed Ali menjelaskan, fakta sejarah mengenai kemasukan masyarakat Cina dan India ke Tanah Melayu pada zaman penjajahan British bagi memenuhi keperluan ekonomi kolonial pernah diajar dalam buku teks Sejarah dan tidak boleh dinafikan.

Beliau berkata, kenyataan Muhammad Sanusi itu sewajarnya dilihat dalam konteks sejarah, bukannya dimanipulasi untuk meraih sokongan politik, termasuk menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Tambahnya, tindakan segelintir pemimpin Melayu yang mengkritik kenyataan berkenaan juga amat dikesali kerana dilihat gagal memahami maksud sebenar yang ingin disampaikan.

Syed Ali berkata, mempertahankan hak orang Melayu tidak seharusnya dianggap sebagai satu tindakan berunsur perkauman, sebaliknya perlu dilihat dalam kerangka sejarah serta Perlembagaan negara.

Pada 24 Julai lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, Malaysia merupakan satu-satunya Tanah Melayu yang menjadi tempat orang Melayu, manakala kaum lain mempunyai negara asal masing-masing seperti India dan China.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata demikian ketika Ceramah Perdana Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersempena dengan PRN Negeri Sembilan di Jempol.

Bagaimanapun, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu menerima reaksi pelbagai dalam kalangan pemimpin politik termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam turut mengingatkan semua pemimpin parti politik agar tidak menyentuh soal etnik, agama, budaya dan latar belakang kaum lain bagi mengelakkan salah faham serta menjejaskan keharmonian masyarakat.

Tegasnya, Malaysia dibina atas kepelbagaian kaum dan budaya, justeru setiap pihak perlu saling menghormati.

Sementara itu, Muhammad Sanusi pada Sabtu mempertahankan kenyataannya mengenai "Tanah Melayu", mendakwa ia telah dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk tujuan politik. - Awani