'Ucapan Sanusi mungkin sesuai di Kedah saja, bukan di Negeri Sembilan' - Ahmad Zahid

KUALA PILAH – Semua pemimpin parti politik diingatkan supaya tidak menyentuh soal etnik, agama, budaya dan latar belakang kaum lain bagi mengelakkan salah faham serta menjejaskan keharmonian masyarakat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia dibina atas kepelbagaian kaum dan budaya, justeru setiap pihak perlu saling menghormati.

"Saya yakin kepada kemajmukan rakyat di negara ini. Latar belakang ini adalah 'sunatullah' yang telah ditentukan.

"Jadi, tidak perlulah disentuh perkara-perkara sedemikian. Saya tidak mahu timbul interpretasi yang akhirnya meresahkan pelbagai kumpulan," katanya ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Program Salam Agrikomoditi di Dataran Melang di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas kritikan terhadap ucapan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika datang berkempen di Jempol baru-baru ini yang dilaporkan menyebut, "Cina ada China, India ada India, Melayu hanya Tanah Melayu".

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, cara ucapan pemimpin Pas berkenaan mungkin hanya sesuai di negeri pentadbirannya di Kedah dan bukan di Negeri Sembilan.

Menurutnya, beliau bukan mahu menasihati Muhammad Sanusi, sebaliknya sekadar mengingatkan supaya kenyataan seumpama itu tidak berulang

"Ucapan beliau mungkin sesuai untuk rakyat negeri Kedah sahaja. Biarpun ada harimau di dalam dada beliau, tetapi sangat sesuai yang keluar daripada 'kalam' beliau itu kambing sahaja.

"Tidak perlulah disentuh perkara-perkara sedemikian. Kalau mereka berhasrat untuk berkawan, buatlah cara mahu berkawan, bukan menyentuh perkara lain," katanya.

Ahmad Zahid berkata, dalam tempoh berbaki enam hari berkempen, adalah lebih baik Muhammad Sanusi menumpukan perhatian kepada negeri pentadbirannya di Kedah daripada datang berkempen di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, sesiapa saja boleh berbeza pendapat, namun perlu saling menjaga adab.

"Bagi saya, ini soal akhlak dan tasawuf politik. Kita boleh berbeza pendapat, tetapi ada adab untuk menangani perbezaan pendapat.

"Apatah lagi jika seseorang itu mempunyai latar belakang pendidikan agama atau mewakili parti yang berasaskan agama. Perkara-perkara beginilah yang harus dipegang," katanya.

Mengulas dakwaan bahawa 'gelombang biru' yang membawa naratif penyatuan ummah telah menimbulkan keresahan dalam kalangan bukan Melayu, Ahmad Zahid berkata, tiada yang perlu dibimbangkan kerana gabungan itu turut disertai oleh kaum-kaum lain.

"Gelombang biru ini ialah gelombang BN yang ada parti Cina dan ada parti India. Jadi, tidak seharusnya meragukan atau meresahkan sesiapa," katanya.

Mengulas manifesto BN Negeri Sembilan pula, Ahmad Zahid berkata, manifesto yang dilancarkan itu merupakan satu tawaran yang baik kerana ia adalah kesinambungan program pembangunan yang telah dirancang sebelum ini.

Katanya, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menggariskan bahawa manifesto itu meneruskan program-program terdahulu yang tergendala selepas BN tidak mempunyai kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.

"Hasrat beliau ialah sesiapa yang akan mengetuai Negeri Sembilan nanti harus mengambil kira apa yang telah dihamparkan dalam manifesto BN kerana kita telah meletakkan asas yang kukuh sebelum ini.

"Tetapi disebabkan kita tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan, program itu tidak dapat dilaksanakan. Sekiranya ALLAH mentakdirkan dan membuka hati para pengundi untuk kembali memberi kepercayaan kepada BN, maka itulah yang akan dilaksanakan sebagai lanjutan kepada program-program terdahulu," katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa manifesto berkenaan adalah praktikal dan boleh dilaksanakan.