Rekod pentadbiran jadi sandaran PH pertahan kubu kuat

PRESTASI pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dijangka menjadi antara aset paling bernilai kepada Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mempertahankan beberapa kerusi tradisi yang dianggap kubu kuat gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Berbanding menumpukan populariti calon semata-mata, PH memasuki gelanggang dengan naratif menawarkan kesinambungan pentadbiran yang stabil, rekod pembangunan serta pengalaman mentadbir negeri selama beberapa penggal.

Rekod itu dijangka menjadi sandaran PH untuk mempertahankan beberapa kerusi tradisi seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Paroi, Lobak, Temiang dan Bahau yang selama ini menjadi antara kubu kuat gabungan berkenaan.

Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berpandangan, kawasan-kawasan berkenaan mempunyai corak pengundian yang cenderung menilai prestasi kerajaan negeri berbanding sentimen politik, selain disokong komposisi pengundi bandar dan separa bandar.

"Kawasan seperti Chennah dan beberapa kerusi tradisi PH mempunyai asas sokongan yang agak kukuh.

"Pengundi di kawasan ini melihat kepada rekod pentadbiran, pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kestabilan kerajaan negeri. Itu antara sebab mengapa kawasan-kawasan ini terus menjadi kekuatan PH," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam masa itu, beliau menjelaskan, rekod pentadbiran kerajaan negeri di bawah Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu menjadi faktor yang sukar dinafikan, terutama apabila dibandingkan dengan pentadbiran terdahulu.

Malah menurutnya, beberapa petunjuk utama termasuk pertumbuhan ekonomi negeri, peningkatan hasil dan pelaksanaan projek pembangunan menunjukkan prestasi memberangsangkan.

"Jika melihat kepada data dan statistik, rekod pentadbiran Menteri Besar selama tiga penggal memang cemerlang dan berkesan.

"Kalau dibandingkan dengan Menteri Besar terdahulu, memang ada perbezaan dari segi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), pendapatan kerajaan negeri serta agihan pembangunan infrastruktur.

"Negeri Sembilan kini boleh dikatakan setanding dengan Pulau Pinang dan Selangor dalam beberapa aspek pembangunan," ujarnya.

Mazlan turut menjelaskan, dapatan kajian lapangan yang dijalankannya turut menunjukkan prestasi Aminuddin diterima secara positif merentasi pelbagai kaum.

Meskipun sentimen politik masih memainkan peranan khususnya dalam kalangan sebahagian pengundi Melayu, beliau berkata, masih banyak kelompok pengundi yang membuat penilaian berdasarkan prestasi kerajaan.

"Golongan pengundi kelas pertengahan dan berpendapatan tinggi lebih cenderung melihat kepada aspek prestasi pentadbiran sebelum membuat keputusan mengundi.

"Faktor itu memberi kelebihan kepada PH terutama di kawasan yang selama ini menjadi kubu kuat gabungan berkenaan," ujarnya.

Linggi bukti strategi perluas pengaruh PH

Keputusan pimpinan tertinggi PH yang meletakkan Aminuddin bertanding di kerusi DUN Linggi bukan gambaran kelemahan pentadbiran beliau, sebaliknya satu strategi politik untuk meluaskan pengaruh PH.

Mazlan berkata, selepas tiga penggal mewakili Sikamat, Aminuddin membawa bersama reputasinya sebagai Menteri Besar bagi menarik sokongan di kawasan baharu yang secara tradisinya lebih mencabar.

"Ia sama seperti strategi memperluaskan pengaruh ke kawasan yang sebelum ini dilihat sukar dimenangi.

"Aminuddin membawa aura sebagai Menteri Besar dan itu boleh menjadi faktor tarikan kepada pengundi di Linggi," katanya.

Sementara itu beliau berpendapat, perkembangan terkini melibatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memberi gambaran penggabungan undi Melayu kini semakin berkurangan.

Beliau berkata, beberapa isu dalaman termasuk rasa tidak puas hati dalam UMNO terhadap pengagihan kerusi, bantahan MCA terhadap kerjasama dengan Pas serta reaksi penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipercayai mengubah landskap persaingan.

Menurutnya, perkembangan itu menjadikan persaingan kembali seimbang berbanding kedudukan pada awal kempen.

"Dalam keadaan itu, PH mempunyai kelebihan kerana menawarkan bukan sahaja calon tetapi juga rekod pentadbiran yang telah dibuktikan.

"Secara tidak langsung, ia memberi sedikit kelebihan kepada gabungan berkenaan," jelasnya.

Mazlan bagaimanapun berpandangan, keputusan akhir masih bergantung kepada perkembangan kempen pada saat-saat akhir dan tahap penerimaan pengundi terhadap isu semasa, namun prestasi pentadbiran kerajaan negeri kekal menjadi antara modal politik paling kukuh yang dimiliki PH.