PUTRAJAYA – Pas mempersoalkan keputusan kerajaan untuk mengumumkan pembentangan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) ketika perkembangan politik melibatkan BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan menjadi perhatian.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan perlu menjelaskan mengapa pengumuman itu hanya dibuat sekarang selepas laporan berkenaan sekian lama tidak dibentangkan bagi mengelakkan persepsi ia mempunyai kepentingan atau percaturan politik tertentu.
Menurut beliau, walaupun Pas menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentangkan laporan RCI berkenaan, masa pengumuman itu dibuat menimbulkan persoalan, lebih-lebih lagi ketika isu pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam eFishery di Indonesia sedang hangat diperkatakan.
"Masa pengumuman tersebut dibuat menimbulkan persoalan. Pengumuman ketika berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, ditambah pula dengan isu pelaburan KWAP dalam eFishery di Indonesia yang sedang hangat diperkatakan, boleh menimbulkan persepsi bahawa isu RCI Tabung Haji sedang digunakan sebagai helah politik untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu yang sedang membelenggu kerajaan.
"Persoalannya, mengapa setelah sekian lama laporan ini tidak dibentangkan, pengumuman mengenainya dibuat ketika landskap politik Negeri Sembilan sedang berubah, termasuk perkembangan hubungan politik antara BN, PH dan PN?
"Kerajaan perlu menjelaskan perkara ini bagi mengelakkan persepsi bahawa laporan RCI hanya diketengahkan apabila wujud kepentingan atau tekanan politik tertentu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan kerajaan bersedia mendedahkan laporan penuh RCI kepada umum, sama ada selepas mendapat kelulusan prosedur yang diperlukan atau selepas Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.
Beliau berkata, laporan itu sebelum ini tidak didedahkan kerana TH sedang melalui proses pemulihan, namun kini rakyat berhak mengetahui kandungannya.
RCI berkenaan ditubuhkan pada 2022 bagi menyiasat isu berkaitan pengurusan dan pentadbiran Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Sementara, isu eFishery menjadi perhatian besar kerana syarikat pemula (startup) teknologi akuakultur dari Indonesia itu didakwa memalsukan prestasi kewangan untuk menarik pelaburan, menyebabkan pelabur termasuk KWAP mengalami kerugian RM163.4 juta.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, Pas sejak awal lagi konsisten mendesak supaya hasil dapatan RCI berkenaan dibentangkan kepada umum dengan segera demi kepentingan umat Islam dan ketelusan pentadbiran negara.
"Pas telah berulang kali mendesak agar hasil dapatan RCI yang ditubuhkan pada tahun 2022 dibentangkan kepada umum dengan segera.
Pas konsisten dengan pendirian bahawa sebarang salah laku yang bercanggah dengan nilai Islam dan undang-undang negara mesti disiasat dan diambil tindakan tanpa mengira siapa yang terlibat," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian berkenaan.
Ujarnya, laporan RCI Tabung Haji yang dilaksanakan menggunakan dana awam tidak seharusnya menerima nasib sama seperti laporan RCI berkaitan Batu Puteh yang pembentangannya di Parlimen sebelum ini menjadi pertikaian.
"Tabung Haji ialah institusi yang sangat dekat dengan umat Islam di negara ini.
"Justeru, ketelusan dalam mengurus dan menjelaskan segala isu yang melibatkan institusi tersebut amat penting bagi memastikan keyakinan umat Islam terhadap Tabung Haji terus terpelihara," katanya.
Beliau berkata, Pas sekali lagi menegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti melanggar undang-undang.
"Sekiranya terdapat salah laku, mereka yang bertanggungjawab mesti dihadapkan kepada proses undang-undang secara adil dan telus," jelasnya.