'Saya tidak lagi melihat roh reformasi itu hidup dalam PH' - Chean Chung

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendakwa Pakatan Harapan (PH) gagal mempertahankan semangat reformasi serta memberi bayangan Parti Bersama Malaysia (Bersama) mungkin menjadi 'rumah' baharu bagi perjuangan tersebut.

Beliau berkata, roh perubahan yang lahir daripada perjuangan rakyat lebih dua dekad lalu disifatkan semakin 'nazak'.

“Ia sedang dicekik oleh mereka yang terlalu selesa dengan kuasa sehingga sanggup mengorbankan cita-cita reformasi demi kepentingan politik jangka pendek.

“Saya tidak lagi melihat roh reformasi itu hidup dalam Pakatan Harapan seperti yang pernah diperjuangkan dahulu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Menurutnya, perubahan yang pernah dijanjikan kepada rakyat masih belum menampakkan hasil apabila beberapa perkara seperti had tempoh jawatan Perdana Menteri, pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta Akta Kebebasan Maklumat masih tertangguh.

Tambah beliau, Akta Pembiayaan Politik yang dianggap penting bagi memastikan sistem politik lebih telus juga masih belum menjadi kenyataan.

“Kita lantang mengkritik Najib (Datuk Seri Najib Razak) dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), begitu juga dengan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) serta Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) berhubung Jana Wibawa dan 'Safe House', namun kita sengaja mengabaikan punca yang melahirkan skandal-skandal ini sejak sekian lama.

“Sistem pembiayaan politik yang tidak telus, tidak terkawal dan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa serta rasuah. Selagi akar masalah ini tidak diselesaikan, skandal baharu akan terus berulang, tidak kira siapa yang memerintah,” katanya.

Chean Chung bagaimanapun melahirkan keyakinan bahawa semangat reformasi itu tidak akan terpadam, sebaliknya akan terus mencari wadah, pentas dan kepimpinan baharu yang berani memperjuangkan agenda tersebut.

“Saya hadir hari ini untuk mencari, bertemu dan bersama-sama mereka yang masih percaya bahawa reformasi bukan sekadar slogan pilihan raya, tetapi satu amanah yang mesti ditunaikan,” katanya lagi.

Mengulas kedudukannya dalam politik semasa, Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, sebelum ini beliau dikenakan tindakan yang tidak adil meskipun memilih untuk terus berdisiplin dan menghormati keputusan parti.

“Namun balasannya ialah peruntukan untuk rakyat disekat, tiada siasatan, tiada peluang untuk didengar dan tiada proses yang adil. Hukuman dijatuhkan tanpa bicara.

“Jika itulah standard yang mahu dijadikan amalan, maka mengikut logik yang sama, esok atau lusa saya juga boleh dipecat.

“Tidak perlu siasatan. Tidak perlu pendengaran. Tidak perlu peluang mempertahankan diri. Jatuhkan sahaja hukuman tanpa bicara. Silakan,” katanya.