PRN Negeri Sembilan: BN tidak pernah burukkan mana-mana pihak ketika kempen - Mohamad Hasan

REMBAU - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu tidak pernah memburuk-burukkan mana-mana pihak sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Beliau berkata, kempen hanya memfokus kepada usaha menyampaikan mesej parti kepada pengundi dan tidak bersifat peribadi sebaliknya bertujuan meminta rakyat supaya memberikan sokongan kepada BN.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program bersama dengan warga Pusat Daerah Mengundi Taman Kelab Tuanku di sini pada Ahad.

Menteri Luar itu berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini yang mengingatkan mana-mana ahli pentadbiran kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan untuk menyerang rakan Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada PRN. 

Mohamad, yang juga Ahli Parlimen Rembau, turut mengingatkan pengundi supaya tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan kandungan yang disebarkan melalui akaun media sosial palsu sepanjang tempoh berkempen.

"Saya ingatkan pengundi di sini supaya jangan termakan fitnah... macam-macam dilakukan, kartun, WhatsApp dan komen... itu semua akaun palsu yang direka untuk melaga-lagakan rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau sekali lagi berkata, persefahaman BN dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan bukan satu bentuk gabungan politik sebaliknya strategi pilihan raya bagi memperkukuh kedudukan parti berdasarkan pertimbangan taktikal.

Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Rantau itu berkata, keputusan BN tidak bertanding di beberapa kawasan dibuat berdasarkan rekod prestasi pilihan raya lepas yang menunjukkan lokasi berkenaan bukan kubu parti.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai ini manakala hari mengundi pada 1 Ogos. - Bernama