TAMPIN - Barisan Nasional (BN) akan memastikan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dijalankan secara sihat dan berhemah sepanjang tempoh 14 hari, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, semua jentera BN perlu mengutamakan amalan demokrasi dengan mendekati pengundi secara matang dan beradab bagi memastikan rakyat dapat membuat pilihan terbaik.
"Kita ada dua calon BN, satu di (Dewan Undangan Negeri-DUN) Gemencheh dan satu di (DUN) Repah. Kedua-duanya akan berkempen secara sihat dan saya menasihati semua jentera supaya berkempen secara berhemah.
"Kita perlu turun ke kampung-kampung bertemu dengan masyarakat untuk memastikan kedua-dua calon BN ini mendapat sokongan.
"Tujuannya ialah membawa pemimpin yang berkaliber untuk membantu rakyat, khususnya di kawasan Gemencheh dan Parlimen Tampin," katanya kepada pemberita selepas mengiringi calon BN pada hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan di Dewan Perdana Tampin di sini, Sabtu.
Johari berkata, kedua-dua calon BN itu, Suhaimizan Bizar bagi kerusi DUN Gemencheh dan Koh Kim Swee di DUN Repah, mempunyai rekod perkhidmatan yang baik serta diyakini mampu berkhidmat kepada rakyat.
Beliau berkata, reputasi Suhaimizan yang pernah menjadi wakil rakyat sebelum ini dan berhasrat meneruskan khidmatnya kepada penduduk dilihat mampu memberikan kelebihan, manakala Koh pula mempunyai pendekatan tersendiri dalam mendekati masyarakat, khususnya kaum Cina.
Johari berkata, pilihan raya ialah proses demokrasi yang memberikan peluang kepada rakyat memilih pemimpin terbaik untuk mewakili mereka pada peringkat negeri.
"Kita mengadakan pilihan raya untuk mengamalkan proses demokrasi, iaitu mencari pemimpin yang hebat bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing," katanya.
Dalam perkembangan sama, Johari berkata, sebarang persefahaman antara BN dengan Perikatan Nasional (PN) pada masa depan bergantung pada kesediaan kedua-dua gabungan itu mencari titik persamaan walaupun masing-masing mempunyai ideologi politik yang berbeza.
Beliau berkata, perbezaan pandangan ialah perkara biasa dalam politik, namun sekiranya terdapat ruang untuk mencapai persefahaman di kawasan atau negeri tertentu, perkara itu boleh dipertimbangkan.
"Dalam politik ini setiap parti mempunyai ideologi masing-masing. Kalau masing-masing boleh mencari titik persamaan dan ada kawasan atau negeri yang mereka boleh bertanding bersama, itu terpulang.
"Akhirnya bukan pemimpin yang memilih, rakyat yang memilih. Jadi, rakyatlah yang akan membuat keputusan," katanya. - Bernama