PORT DICKSON - Bagaikan sebuah 'keluarga besar' apabila penyokong Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) saling menyokong antara satu sama lain ketika mengiringi calon masing-masing ke pusat penamaan calon di sini.
Mereka bukan saja melaungkan 'BN-PN' malah turut mengedarkan risalah calon masing-masing selain saling bergambar antara satu sama lain.
Ketua Wanita Kebangsaan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), J Lilavathi berkata, beliau amat gembira dengan penyatuan terbabit yang disifatkannya sebagai detik paling bersejarah.
"Pastinya saya sangat gembira kerana penyatuan in tidak pernah berlaku sebelum ini, ia satu sejarah.
"Pada saya, perubahan ini adalah demi rakyat. Marilah kita menerima penyatuan dua gabungan besar iaitu PN dan BN dengan sikap yang positif," katanya.
Lilavathi yang bersama PN sejak tiga tahun lalu berkata, kerjasama tersebut diharap mampu membawa manfaat kepada rakyat serta mengukuhkan sokongan terhadap gabungan berkenaan.
Ketua Wanita Cawangan Bandar Springhill, Norhasrina Baharin, 53, pula mengakui pada awalnya beliau berasa agak kekok untuk bersama penyokong PN, namun menyifatkan keputusan parti untuk bekerjasama adalah langkah terbaik.
"Pada mulanya memang rasa kekok kerana ia satu budaya baharu untuk kita tetapi Alhamdulillah, saya lihat ini satu keputusan yang baik.
"Saya menyertai UMNO sejak tahun 2008 dan ini merupakan parti pertama saya. Jadi saya menerima keputusan ini demi kepentingan bersama," katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Bahagian Port Dickson, Siti Hawa Mohamad turut menyifatkan kerjasama BN- PN sebagai keputusan yang tepat demi memastikan kemenangan gabungan tersebut.
"Saya rasa ini satu keputusan yang baik. Tiada masalah untuk kita bergabung jika ia boleh membawa kemenangan.
"Bagi saya, ini juga adalah jalan terbaik untuk penyatuan semua kaum. Saya nampak kita boleh menang dengan lebih selesa apabila bergabung dengan PN," katanya.