PRN Negeri Sembilan: Rekod pentadbiran Aminuddin jadi taruhan PH

JEMPOL - Prestasi pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sejak 2018 menjadi antara fokus kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sepanjang tempoh tersebut, banyak kejayaan Aminuddin dapat dilihat termasuk peningkatan kutipan zakat, hasil negeri dan kemasukan pelaburan baharu.

“Kita lihat prestasi pentadbiran Datuk Seri Aminuddin Harun sejak 2018 hingga sekarang merupakan prestasi yang sangat baik. Kita lihat kutipan zakat meningkat, kutipan hasil bagi negeri meningkat dan pelaburan masuk.

“Terkini ada satu pelabuhan baharu yang akan dibina dan pelaburan seperti ini akan mewujudkan peluang pekerjaan tambahan,” katanya ketika ditemui di luar pusat penamaan calon di Dewan Besar Pejabat Daerah dan Tanah Jempol di sini pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penamaan calon buka tirai PRN Negeri Sembilan ke-16

PRN Negeri Sembilan: Penyokong parti 'lawan' sorakan

PRN Negeri Sembilan: Calon PH ziarah pusara isteri sebelum penamaan calon

PRN Negeri Sembilan: Abdul Hadi, Asyraf Wajdi berjabat tangan, curi tumpuan penyokong

Fahmi berkata, isu peluang pekerjaan antara perkara utama yang sering dibincangkan khususnya oleh anak muda di kawasan seperti Jempol dan Jeram Padang.

Katanya, calon PH akan membawa harapan kepada golongan muda menerusi peluang pekerjaan yang dijangka terhasil daripada perkembangan ekonomi negeri.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak termasuk pengguna media sosial supaya berkempen secara sihat sepanjang tempoh PRN dengan mengelakkan penyebaran fitnah, berita palsu dan perkara berunsur 3R.

Ujarnya, liputan terhadap semua calon juga diharap dapat dilakukan dengan baik selain kebajikan petugas media akan terus dipantau sepanjang tempoh kempen.

"Kita akan berkempen dengan sihat, kita akan lihat kepada prestasi dan elak daripada kempen mencaci, fitnah itu tidak sihat untuk demokrasi negara kita," katanya.

Di Jempol, empat DUN menjadi tumpuan iaitu N05 Serting, N06 Palong, N07 Jeram Padang dan N08 Bahau.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin tertinggi BN iringi calon tanding PRN Negeri Sembilan

PRN Negeri Sembilan: Jangan campur aduk adat dengan politik - Tok Mat

PRN Negeri Sembilan: Anthony berdepan calon BN di DUN Chennah

Bagi DUN Serting, pertandingan tiga penjuru berlaku antara penyandangnya, Fairuz Isa (PN) yang dicabar Yaacob Mahmood (PH) dan Muhammad Noraffendy Mohd Salleh (Bersatu).

DUN Palong juga menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandang, Datuk Mustapha Nagoor (BN), Zahin Zinal Abidin (PH) dan Rebin Birham (Bersatu).

Sementara itu, DUN Jeram Padang pula menyaksikan persaingan empat penjuru antara penyandang, Datuk Zaidy Abdul Kadir (BN), G Manivannan (PH), R Sri Sanjeevan (Bersatu) dan Dayana Dal daripada Parti Orang Asli Malaysia (ASLI).

Manakala DUN Bahau pertandingan satu lawan satu antara penyandangnya, Teo Kok Seong (PH) dan Chong Fui Ming (BN).