DUN Chennah kritikal tentukan mandat kerajaan negeri - Anthony

JELEBU - [DIKEMAS KINI] Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah disifatkan sebagai antara empat kerusi di Parlimen Jelebu paling kritikal bagi Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mempertahankan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, kata penyandangnya, Anthony Loke.

Anthony yang merupakan Setiausaha Agung DAP dan juga Menteri Pengangkutan berkata, walaupun berdepan pertandingan satu lawan satu, PH yakin mampu mempertahankan kerusi itu berdasarkan rekod perkhidmatan dan pembangunan yang dibawa sepanjang dua penggal mentadbir negeri.

"Kerajaan yang ditubuhkan oleh Pakatan Harapan sejak 2018 telah membuktikan bahawa kita mampu membawa kemajuan dan kestabilan kepada negeri.

"Kita harap mendapat mandat daripada rakyat untuk membentuk semula kerajaan negeri, dan kerusi-kerusi di Parlimen Jelebu ini amat kritikal kerana pada 2018, dua kerusi di sini iaitu Chenah dan Kelawang menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Besar Kuala Klawang, di sini, Sabtu.

**media[3586280]**

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen Jelebu, Abdul Rahim A Aziz mengumumkan DUN Chennah menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Anthony dengan calon Barisan Nasional (BN), Siow Kong Choon. 

Mengulas peluang mempertahankan DUN Chennah yang merupakan kerusi campuran susulan keputusan PRN Johor baru-baru ini yang menyaksikan DAP tewas di beberapa kerusi separa bandar, Anthony berkata, setiap pilihan raya mempunyai dinamik tersendiri.

"Chennah sentiasa menjadi kerusi 50-50 kerana tiada satu kaum pun membentuk majoriti. Untuk menang, kita perlu mendapat sokongan merentasi semua kaum.

"Bezanya kali ini, kita bertanding sebagai kerajaan penyandang yang telah berkhidmat selama dua penggal dan membawa pembangunan kepada kawasan ini. Saya berharap dapat mengekalkan sokongan pengundi Cina, Melayu dan Orang Asli," katanya.

Sementara itu, Anthony berkata, proses penamaan calon berjalan lancar bagi empat DUN di bawah Parlimen Jelebu dengan calon PH di Pertang, Sungai Lui dan Kelawang berdepan saingan tiga penjuru manakala Chenah yang diwakilinya menyaksikan pertandingan satu lawan satu.

Katanya, situasi itu sememangnya telah dijangkakan dan PH kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada kempen bagi mempertahankan sokongan pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian pada 1 Ogos. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Penamaan calon buka tirai PRN Negeri Sembilan ke-16

PRN Negeri Sembilan: Penyokong parti 'lawan' sorakan

PRN Negeri Sembilan: Calon PH ziarah pusara isteri sebelum penamaan calon

PRN Negeri Sembilan: Abdul Hadi, Asyraf Wajdi berjabat tangan, curi tumpuan penyokong

Pemimpin tertinggi BN iringi calon tanding PRN Negeri Sembilan

PRN Negeri Sembilan: Jangan campur aduk adat dengan politik - Tok Mat