'Inilah masa pengundi bukan Melayu yang tidak selesa dengan Pas, sokong Bersatu' - Muhyiddin

SEREMBAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berharap mampu menarik lebih ramai pengundi bukan Melayu untuk menyokong parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebelum ini terdapat persepsi dalam kalangan pengundi bukan Melayu yang bimbang untuk menyokong Bersatu kerana kerjasamanya dengan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).

"Dulu ada masalah kerana kita faham ramai yang bukan Melayu takut dengan cara Pas.

"Sebab itu bila kita bentuk PN pada awalnya, kita (Bersatu) di depan dan Pas di belakang dan kerana itu kita dapat membentuk kerajaan serta memperoleh sokongan yang agak besar termasuk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas," katanya ditemui pemberita selepas Melancarkan Jentera dan Mengumumkan Calon Bersatu dalam PRN Negeri Sembilan di sini pada Jumaat.

Justeru ujar beliau, bagi masyarakat bukan Melayu yang selama ini tidak bersedia menerima cara politik Pas, ini adalah masa yang sesuai untuk mereka menyokong Bersatu.

Dalam pada itu ditanya berkenaan calon 'poster boy' dan manifesto, kata Muhyiddin, pihaknya akan meneliti maklum balas rakyat terlebih dahulu sebelum menentukan langkah seterusnya.

"Kita nak tengok respons daripada media sosial dan sambutan rakyat dalam tempoh dua minggu ini.

"Kalau amat memberangsangkan, nanti kita akan duduk berbincang mengenai strategi dan langkah seterusnya.

"Kalau perlu kita bentangkan manifesto dan melihat siapakah tokoh-tokoh yang boleh diketengahkan sebagai bakal pemimpin pada masa depan," katanya.

Beliau ketika berucap memberitahu, pilihan raya kali ini adalah menjadi detik bersejarah buat parti itu kerana selepas hampir 10 tahun ditubuhkan, inilah kali pertama mereka bertanding menggunakan logo sendiri.

Jelasnya, keadaan itu membuktikan parti terbabit sudah sampai kepada tahap kematangan yang boleh dibabgakan, malah kini mempunyai hampir 700,000 ahli di seluruh negara.

"Ini satu pencapaian yang agak tidak saya duga kerana Bersatu sudah pun diiktiraf antara parti politik yang amat berpengaruh di dalam negara.

"Syukur Alhamdulillah, kita sudah pun memiliki ahli hampir 700,000 di seluruh negara dan memiliki hampir lebih 4,000 cawangan di seluruh negara dan mempunyai lebih 180 Bahagian," katanya.