KOTA BHARU – Pas yakin mampu memenangi kesemua lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, bulan depan.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keyakinan itu berdasarkan kekuatan calon selain potensi sokongan tambahan daripada pengundi Barisan Nasional (BN) menerusi persefahaman bersama Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, tiga daripada lima kerusi yang ditandingi Pas iaitu Serting, Paroi dan Bagan Pinang merupakan kerusi yang sudah dimenangi parti itu sebelum ini, manakala Lobak dan Ampangan menjadi sasaran baharu pada PRN kali ini.
“Kalau saya tengok, kelima-lima kerusi yang Pas tandingi mempunyai potensi untuk menang.
“Walaupun ada kerusi Pakatan Harapan di tempat Pas bertanding, peluang itu tetap ada kerana kalau penyokong UMNO memahami persefahaman yang kami buat ini, mereka akan mengundi calon Pas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Kuliah Jumaat di Medan Ilmu di sini pada Jumaat.
**media[3585282]**
Pada Khamis, PN mengumumkan bertanding di 11 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 1 Ogos ini.
Daripada jumlah itu, komponen terdiri daripada Pas diperuntukkan lima kerusi, Parti Wawasan Rakyat empat kerusi, manakala masing-masing satu kerusi diberikan kepada Parti Gerakan Rakyat Malaysia dan Parti Rakyat India Malaysia.
Mohd Amar berkata, sokongan daripada pengundi BN mampu menjadi faktor tambahan yang memperkukuhkan peluang kemenangan Pas, terutama di kerusi yang menjadi sasaran parti itu.
“Bayangkan kalau ada tiga ribu penyokong UMNO yang mengundi kita, itu sudah menjadi kekuatan tambahan kepada Pas.
“Sebab itu saya lihat potensi kemenangan di lima kerusi itu adalah tinggi,” katanya.