PRN Negeri Sembilan: PN umum bertanding 11 kerusi, lengkapkan 'puzzle' BN di 36 DUN

SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan akan bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 1 Ogos ini.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pengumuman Calon PN Negeri Sembilan di Kompas Kampung Ismail, di sini pada Khamis malam.

Menurut beliau, daripada 11 kerusi yang ditandingi, sebanyak lima kerusi diperuntukkan kepada Pas, empat Parti Wawasan Rakyat (Wawasan), satu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan satu Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Sementara itu, anak kepada Tan Sri Dr Rais Yatim iaitu Danni Rais yang sebelum ini bertanding mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali lagi dicalonkan untuk bertanding di kerusi DUN Kuala Klawang, namun kali ini atas tiket parti Wawasan.

Selain itu, penyandang kerusi DUN Gemas, Ridzuan Ahmad yang sebelum ini dari parti Bersatu turut dicalonkan semula di situ sebagai calon Wawasan.

Bekas Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah mewakili Wawasan di DUN Sikamat.

Terdahulu Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, gabungan itu akan melengkapkan 'puzzle' kerusi yang tidak ditandingi BN.

"PRN ini sebagai satu mukadimah penting, satu 'alignment' baharu politik Malaysia. BN umum 25 DUN, tapi 'puzzle' itu tidak lengkap dan kita lengkapkannya dengan umumkan calon di 11 DUN," katanya.

SENARAI KERUSI BERTANDING PN PRN NEGERI SEMBILAN

PAS

* N05 Serting – Mohd Fairuz Mohd Isa

* N14 Ampangan – Datuk Dr Mohamad Rafie Abd Malek

* N11 Lobak – Dr. Kumar Al Paramasivam

* N25 Paroi – Kamarul Ridzuan Mohd Zin(Penyandang)

* N31 Bagan Pinang - Abd Fatah Zakaria(Penyandang)

WAWASAN

* N.04 Klawang – Danni Rais

* N.13 Sikamat – Datuk Razali Abu Samah

* N.23 Mambau – Eric Michael

* N.34 Gemas – Ridzuan Ahmad

GERAKAN

* N.21 Bukit Kepayang – Lee Boon Shian

MIPP

* N.30 Lukut – Sathes Kumar Nilameham