Bersatu tetap bertanding jika bertembung Pas, calon diumum Jumaat

PETALING JAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan tidak akan beralah sekiranya berlaku pertembungan dengan calon Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertembungan terbabit mungkin tidak boleh dielakkan, namun menganggap situasi tersebut berpunca daripada pembahagian kerusi belum dimuktamadkan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, Bersatu tidak menginginkan pertembungan sesama parti komponen PN, namun keadaan itu boleh berlaku sekiranya pembahagian kerusi tidak diselaraskan dengan baik.

"Bukan kata kami suka nak buat begitu, takkan PN lawan PN. Bukan itu yang kita mahukan.

"Tetapi jika kita sudah menerima pencalonan dan berlaku pertembungan, kita tetap akan lawan," katanya pada sidang media khas pada Rabu.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas sama ada Bersatu akan beralah sekiranya berlaku pertembungan dengan calon Pas pada PRN Negeri Sembilan.

Muhyiddin turut menegaskan, sebarang keputusan yang melibatkan PN sepatutnya dibuat secara bersama oleh semua parti komponen dan bukannya diputuskan secara sebelah pihak.

"Kalau kita berada dalam satu gabungan, semua parti perlu dipanggil berbincang. Rundingan yang mewakili PN juga sepatutnya dipersetujui bersama," katanya.

Mengulas mengenai senarai calon Bersatu bagi PRN Negeri Sembilan, beliau berkata, parti itu belum memuktamadkan keputusan berhubung calon yang akan bertanding.

Menurutnya, perkara tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat kepimpinan parti sebelum diumumkan secara rasmi pada Jumaat.