KUALA PILAH - Semua parti politik dinasihatkan tidak menjadikan krisis institusi Diraja di Negeri Sembilan sebagai polemik politik dan bahan kempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dipolitikkan kerana tidak mempunyai kaitan dengan pilihan raya.
"Saya nak nasihatkan kawan-kawan daripada parti lain, jangan gunakan isu ini kerana isu ini tidak relevan dalam pilihan raya.
"Bukan masalah saya bimbang dan takut, tapi tugas kita mesti pertahankan Sistem Beraja dan perlembagaan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan(PH) PRN Negeri Sembilan di sini pada Selasa.
Jelas beliau, sekiranya isu tersebut dijadikan bahan politik ia tidak akan berkesudahan, malah boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Pengerusi PH itu turut meluahkan rasa kecewa kerana sehingga kini pelbagai pihak berterusan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap DAP.
"Riuh kita dengar kritikan kepada DAP, kononnya tidak Melayu.
"Tapi setakat yang saya faham, ketika saya pimpin Pakatan Rakyat ketika itu, saya masih ingat, saya selaku Presiden PKR, Lim Kit Siang selaku Setiausaha Agung DAP manakala Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kami menandatangani dokumen menyatakan bahawa prinsip perlembagaan akan terus dipelihara," katanya.
Tambahnya, ia ditekankan mengenai Raja Berperlembagaan, Islam agama Persekutuan, Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan serta hak orang Melayu dan Bumiputera itu terus dipertahankan.
Justeru beliau berharap, semua pihak boleh bertempur di dalam pilihan raya kali ini secara berhemah.
"Saya mohon rakan-rakan, kita boleh bertempur dalam politik, tapi tak boleh fitnah dalam politik dan tak perlu hina kaum dan agama lain.
"Malaysia ini negara berbilang kaum, tetapi Islam tetap agama Persekutuan, hak orang Melayu dan Bumiputera tetap jadi tonggak dalam prinsip perlembagaan," katanya.
Anwar berkata, sekiranya masih ada yang mempergunakan isu tersebut dia semestinya buta sejarah atau sengaja memadamkan kenyataan yang memang ada.