PRN Negeri Sembilan: 'Jumlah kerusi sudah ada, Pas yakin semua menang'- Annuar Musa

KOTA BHARU – Pas mampu menyapu bersih semua kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan apabila yakin dengan kekuatan jentera serta sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, keyakinan itu berdasarkan persiapan yang telah dilakukan parti menjelang PRN berkenaan.

"Pas sudah ada (sasaran kerusi). Insya-ALLAH kali ini semua yang kita bertanding akan menang," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.

Sebelum itu, beliau merasmikan Majlis Memperkenalkan Pemain Kelantan City FC di Dewan Rimba Bukit Marak di sini.

Mengulas lanjut, Annuar memberitahu, satu mesyuarat khas Jawatankuasa Pas Pusat akan diadakan pada malam ini (Selasa) bagi memuktamadkan serta mengesahkan kerusi yang akan ditandingi parti itu.

Ditanya mengenai jumlah kerusi yang bakal ditandingi Pas, beliau bagaimanapun enggan mendahului pengumuman rasmi yang dijangka dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti.

"Itu kalau saya umum, orang kata saya jadi Presiden pula. Sabar. Saya rasa biarlah Setiausaha Agung ataupun Presiden buat pengumuman," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Annuar turut menepis spekulasi berhubung penggunaan logo pada PRN Negeri Sembilan, termasuk cadangan supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggunakan logonya sendiri susulan keputusan PRN Johor.

Menurutnya, perkara itu masih tertakluk kepada keputusan bersama, namun setakat ini perbincangan dalam gabungan berkenaan adalah untuk menggunakan logo PN.

"Itu spekulasi dan pendapat masing-masing. Terpulanglah pilihan hendak pakai logo apa, tetapi setakat ini kita berbincang menggunakan logo PN," katanya.